Kedai jual jam tangan tiruan antara 12 premis digempur KPDN KL

KUALA LUMPUR – Sebuah premis yang berselindung di sebalik perniagaan aksesori telefon dan alat telekomunikasi dikesan menjalankan penjualan jam tangan tiruan dalam serbuan Ops Gempur KL Strike Force di Jalan Silang, malam tadi.
Premis yang dipercayai diuruskan oleh warga asing itu merupakan salah satu daripada 12 premis perniagaan dan makanan yang diperiksa dalam operasi bermula jam 9 malam, melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, serbuan dijalankan berdasarkan risikan selama seminggu dan aduan orang ramai berhubung lambakan warga asing yang didakwa menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebanyak 10 kes dikesan dalam operasi itu, iaitu tiga kes berkaitan harga, lima kes berkaitan alat timbang, dan dua kes kesalahan cap dagang.
"Sebanyak RM6,000 nilai kompaun telah dikeluarkan melibatkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga, menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan, di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) dan Akta Timbang dan Sukat 1972.
"Selain itu, rampasan turut dilakukan melibatkan 125 unit jam tangan tiruan yang dianggarkan bernilai RM6,500 di bawah Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi di Jalan Silang pada Rabu.

Sinar Harian yang mengikuti operasi tersebut mendapati peniaga memberikan pelbagai alasan termasuk tidak mengetahui peraturan berhubung penggunaan alat timbang dan keperluan mempamerkan harga makanan serta barangan yang dijual.
Mohd Sabri berkata, operasi mendapati kebanyakan premis tidak mempamerkan harga jualan dengan lengkap.
"Walaupun ada yang hanya gagal mempamerkan sebahagian harga barangan, tindakan tetap diambil kerana undang-undang menetapkan semua harga mesti dipaparkan dengan jelas.
"Selain itu, penggunaan alat timbang yang telah tamat tempoh atau tidak ditentusahkan juga dikesan dan ia merupakan kesalahan serius yang tidak boleh dikompromi," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Sabri berkata, seramai 24 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi pemeriksaan yang dijalankan oleh JIM Kuala Lumpur.

"Kesemua individu terbabit terdiri daripada 10 warga Bangladesh, Nepal (8), Indonesia (2), Pakistan (2), Myanmar (2), dan Sri Lanka (1). Mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).
"DBKL yang turut terlibat dalam operasi ini juga mengeluarkan 17 notis kompaun dan satu notis penutupan premis di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.
Tambahnya, orang ramai diminta supaya sentiasa cakna dan berhati-hati terhadap barangan tiruan serta sikap peniaga restoran yang tidak mempamerkan harga dengan jelas kepada pengguna.
"Kita menyeru agar sekiranya terdapat maklumat berkaitan pelanggaran peraturan yang ditetapkan, orang ramai segera melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!