Tapak pembinaan terbengkalai jadi 'sarang' PATI

KOTA KINABALU - Kawasan pembinaan terbengkalai antara tiga lokasi diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dijadikan sebagai penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Kota Kinabalu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi itu dilaksanakan bermula jam 1 pagi hingga 6 pagi Rabu melibatkan dua kawasan setinggan dan sebuah kawasan pembinaan.
Menurutnya, kawasan pembinaan berkenaan dipercayai sebagai projek sakit yang sudah lama ditinggalkan dan dijadikan setinggan oleh PATI.
Susulan itu katanya, satu operasi telah dilaksanakan di tiga kawasan setinggan dengan menggunakan kekuatan 108 pegawai pelbagai pangkat daripada pelbagai daerah serta unit penguatkuasaan.
"Hasilnya seramai 260 individu telah diperiksa dengan penahanan seramai 187 orang disyaki PATI yang telah melakukan kesalahan di bawah imigresen.
"Jumlah tersebut juga melibatkan seramai 102 kanak-kanak atau 55 peratus manakala selebihnya 45 peratus adalah dewasa," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.
Tambah beliau lagi, semasa sebuan pihaknya turut berhadapan dengan ancaman agresif apabila ada PATI yang cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan.
"Namun mereka berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan antara kesalahan ialah tiada dokumen di bawah Seksyen 601 (c) di bawah Akta Imigresen 1999/63," katanya.
SH Sitti Saleha berkata, operasi akan terus dilaksanakan dari masa ke masa bagi membendung kehadiran PATI dan penempatan yang menjadi tempat mereka berlindung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
