Kadar gaji peserta projek Agropolitan ECER kekal

Mohd Syahbuddin (duduk, kanan) bersama Zulkifli (tengah), Ab Aziz (kiri) dan wakil dari ECER Rantau Manis serta Kesedar.
Mohd Syahbuddin (duduk, kanan) bersama Zulkifli (tengah), Ab Aziz (kiri) dan wakil dari ECER Rantau Manis serta Kesedar.
A
A
A

GUA MUSANG - Kebimbangan peserta Projek Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Rantau Manis di sini, berakhir apabila gaji pokok mereka dikekalkan seperti kadar asal.

Terdahulu, lebih 250 peserta menggesa pihak pengurusan mengkaji semula potongan kadar penyelenggaraan (upah) yang berkuatkuasa bermula Januari ini.

Sebelum ini, mereka dibayar RM160 perhektar bagi kerja-kerja penyelenggaraan ladang, namun bermula bulan ini, kadar itu dikurangkan kepada RM110 setiap hektar.

Difahamkan setiap peserta menguruskan tiga hingga lima hektar ladang dengan purata pendapatan hanya sekitar RM960 sebulan.

Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pertemuan rasmi beliau dan Adun Nenggiri, Ab Aziz Yusoff bersama pihak pengurusan akhirnya mencapai kata sepakat bahawa tiada perubahan pada gaji pokok.

Menurutnya, gaji dikekalkan seperti kadar sebelum ini dan pengiraan perincian gaji pokok perlu disertakan dalam penyata gaji bulanan.

“Peserta tidak perlu bimbang lagi kerana perkara ini telah selesai dan tiada sebarang pemotongan gaji pokok. Ia dikekalkan seperti kadar asal,” katanya.

Pertemuan berkenaan turut dihadiri Pengurus Besar (Bahagian Pembangunan Modal Insan) ECERDC, Zulkifli Yaacob dan Pengurus Operasi ECER Rantau Manis, Salehuddin Muhammad.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Periuk nasi terjejas]