Bank Rakyat perkenal pembiayaan peribadi 'InstaCash' untuk pekerja swasta

Khairudin memberikan penerangan berkenaan produk terbaharu Bank Rakyat, Pembiayaan Peribadi-I Swata (InstaCash), kemudahan pembiayaan peribadi patuh Syariah khusus untuk pekerja sektor swasta.
Khairudin memberikan penerangan berkenaan produk terbaharu Bank Rakyat, Pembiayaan Peribadi-I Swata (InstaCash), kemudahan pembiayaan peribadi patuh Syariah khusus untuk pekerja sektor swasta.
A
A
A

BANK Rakyat mengambil langkah proaktif memperluas akses kewangan dengan melancarkan produk terbaharu, Pembiayaan Peribadi-i Swasta (InstaCash), sebagai inisiatif untuk menyediakan kemudahan pembiayaan peribadi patuh Syariah khusus kepada pekerja sektor swasta.

Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Khairudin Abdul Rahman berkata, produk ini bukan sahaja menjadi medium untuk memperkasa keperluan kewangan harian pelanggan, malah menyokong aspirasi kerajaan dalam memperluas keterangkuman kewangan.

“Kami percaya InstaCash mencerminkan iltizam kami untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mencapai kesejahteraan kewangan, tanpa mengira latar belakang pekerjaan.

“Jika sebelum ini fokus kami lebih tertumpu kepada sektor awam, kini kami mengambil langkah strategik untuk membuka ruang kepada pekerja sektor swasta menikmati kemudahan perbankan yang mudah, ringkas dan berdaya saing,” katanya pada sidang media pelancaran InstaCash, di sini, Rabu.

Menurut beliau, InstaCash menawarkan kelulusan dalam tempoh 24 jam, pembiayaan sehingga RM50,000 atau lima kali ganda gaji kasar, kadar keuntungan kompetitif antara 7.24 hingga 7.7 peratus, serta keperluan dokumen minimum iaitu penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan slip gaji.

Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan boleh dibuat sepenuhnya secara digital melalui platform BRICK tanpa perlu hadir ke kaunter, namun pelanggan masih boleh mendapatkan bantuan pegawai cawangan sekiranya diperlukan.

“Kita mahu memudahkan pelanggan, sama ada mereka berada di rumah, dalam perjalanan atau sewaktu menunggu dalam kesesakan lalu lintas. Mereka hanya perlu imbas kod QR BRICK dan lengkapkan permohonan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, walaupun sektor swasta dilihat mempunyai risiko lebih tinggi berbanding sektor awam, penggunaan penyata KWSP sebagai rujukan membolehkan bank menilai sejarah pekerjaan dan keupayaan bayaran dengan lebih telus.

Artikel Berkaitan:

“Penjawat awam ada potongan melalui Biro Angkasa, manakala bagi pekerja swasta, kami menetapkan syarat dan margin keuntungan berdasarkan prinsip risk-based pricing.

“Melalui penyata KWSP, kami dapat melihat tempoh pekerjaan dan jumlah pendapatan sebenar pelanggan, berbanding hanya bergantung kepada dokumen yang mudah dimanipulasi,” katanya.

Bank Rakyat menyasarkan jumlah pembiayaan InstaCash mencecah RM20 juta sebulan atau RM240 juta setahun, dengan sasaran awal RM130 juta dalam tempoh enam bulan.

“Daripada 1.6 juta penjawat awam di Malaysia, 1.2 juta sudah menjadi pelanggan kami. Kini tiba masanya kami fokus kepada segmen baharu,” tambahnya.

Setakat dua hari selepas pelancaran, produk ini telah menerima permohonan bernilai RM1.3 juta dengan kelulusan segera bernilai RM88,000 – menjadikannya antara produk pembiayaan terpantas dalam sejarah Bank Rakyat.

Khairudin juga memaklumkan bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menawarkan promosi istimewa atau menyemak semula kadar keuntungan selepas enam bulan, berdasarkan prestasi semasa dan kadar pembiayaan tidak berbayar (NPL).

“Kadar NPL bagi produk pembiayaan peribadi kami kekal antara yang terendah di pasaran, iaitu di bawah dua peratus. Kami akan terus membuat semakan berkala bagi memastikan setiap inisiatif kekal mampan dan selamat,” jelasnya.

InstaCash turut menjadi sebahagian daripada usaha pendigitalan Bank Rakyat dalam menyokong agenda ekonomi digital negara serta menyumbang kepada pengurangan jejak karbon menerusi pengurangan keperluan kehadiran fizikal ke cawangan.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui platform rasmi di https://brick.bankrakyat.com.my atau dengan menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!