Bank Rakyat teruskan tradisi edar bubur lambuk

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat meneruskan tradisi tahunan dengan mengagihkan 7,000 pek bubur lambuk kepada masyarakat sekitar Lembah Klang sempena Ramadan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, program yang memasuki tahun ke-12 ini bukan sekadar tradisi, tetapi juga satu bentuk penghargaan kepada masyarakat.

"Kami mengekalkan program ini sebagai tanda kasih kepada masyarakat.
“Sebanyak 20 kawah bubur lambuk dimasak secara bergotong-royong oleh warga kerja Bank Rakyat dan diagihkan di beberapa lokasi seperti balai polis, balai bomba, stesen LRT, masjid serta rumah kebajikan sekitar Bangsar, Damansara, Shah Alam, Rawang dan Puchong," katanya.
Beliau berkata demikian pada media selepas sesi memasak dan mengedar bubur lambuk di pekarangan Menara Berkembar Bank Rakyat pada Khamis.
Turut hadir, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Menurutnya, inisiatif ini selari dengan tema Ramadan tahun ini, ‘Hulurkan Salam’, yang bukan sekadar berkongsi rezeki, tetapi juga memperkukuh hubungan antara Bank Rakyat dan masyarakat.
"Kami percaya Ramadan adalah waktu terbaik untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti yang menjadi tulang belakang kejayaan Bank Rakyat.
“Pada masa hadapan, kami merancang menambah jumlah pek bubur lambuk dan memperluaskan aktiviti seperti memasak dodol serta menjemput anak-anak yatim untuk turut serta dalam majlis ini," tambahnya.
Beliau berkata, Bank Rakyat turut menerima cadangan untuk menambah menu selain bubur lambuk bagi memastikan lebih ramai masyarakat dapat menikmati program ini.
Selain itu, Bank Rakyat turut melancarkan Kempen Hulurkan Salam dari 1 Mac hingga 31 Mei 2025, menawarkan hadiah bernilai RM370,000, termasuk kereta mewah Jaecoo J7, Proton e.MAS dan motosikal elektrik BMW CE 04 kepada pelanggan bertuah.
Kempen ini juga menawarkan rebat petrol, barangan runcit dan emas, selain penganjuran Karnival Bazar Riang Raya yang menghimpunkan lebih 100 gerai usahawan di Menara Kembar Bank Rakyat pada 17, 19, 20 dan 21 Mac.
"Kami juga berhasrat melibatkan lebih ramai rakan strategik, termasuk dari Sabah dan Sarawak, untuk bersama-sama menyemarakkan program ini di tahun-tahun akan datang," katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sosial rasmi @mybankrakyat atau melayari www.bankrakyat.com.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

