SWCorp bersihkan lokasi tumpuan awam

TEMERLOH - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaksanakan Operasi Pembersihan Jalan Tanpa Debu di Dataran Pelangi di sini untuk memastikan persekitaran khususnya lokasi tumpuan awam di negeri ini bersih dan selesa untuk pengunjung.
Operasi tersebut dilaksanakan secara menyeluruh dengan menggunakan kaedah manual dan mekanikal membabitkan kerja pembersihan sampah, habuk, pasir serta najis burung yang sering mencemari kawasan tumpuan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, operasi itu membabitkan 40 anggota terdiri daripada penguat kuasa SWCorp dan kakitangan syarikat konsesi Alam Flora.
“Lokasi ini dipilih memandangkan ia menjadi tumpuan utama orang ramai khususnya ketika jualan but kereta ('car boot sale') yang sering diadakan di kawasan ini setiap hujung minggu.

“Program ini turut dilaksanakan di seluruh daerah Pahang dan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan awam bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih dan terjaga,” katanya di sini baru-baru ini.
Turut hadir menyertai operasi berkenaan, Pengarah SWCorp Pahang, Shahruddin Hamid; Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Adam Ahmad dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Pembangunan Komuniti MPT, Nor Hisham Abd Hadi
Ujarnya lagi, inisiatif itu sejajar dengan slogan 'Clean Today, Green Tomorrow' yang menjadi panduan SWCorp dalam memastikan kebersihan persekitaran terus dipertingkat.
“SWCorp akan terus komited menjalankan peranan sebagai peneraju kebersihan negara bagi memastikan persekitaran bersih dan lestari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!