ELBA tampil inovasi baharu produk pembersihan rumah

SHAH ALAM - Jenama tempatan, ELBA tampil dengan inovasi baharu produk pembersihan rumah bersempena Konvensyen Pengedar ELBA 2025.
Pengarah Urusannya, Tok Sang Man berkata, pelancaran tersebut menampilkan produk mesin basuh, vakum, pencuci lantai dan mesin pencuci pinggan sebagai sebahagian usaha ELBA menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada isi rumah moden.
Menurutnya, konvensyen tahun ini menjadi detik penting buat ELBA dalam mengembangkan keupayaan sebagai penyedia solusi rumah.
“Dengan pengalaman hampir 50 tahun, kami terus berusaha menyediakan produk yang praktikal, moden dan sesuai untuk keperluan keluarga Malaysia.
“Acara hari ini mengukuhkan lagi usaha kami terhadap inovasi, sambil terus mengekalkan keutamaan terhadap keperluan keluarga Malaysia dengan penyelesaian praktikal namun tampil dengan sentuhan moden yang menyegarkan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, menurut Sang Man, ELBA turut memperkenalkan tiga siri mesin basuh iaitu Queluxe, LavaWave dan Elysian dengan masing-masing mempunyai teknologi inovasi tersendiri.
Tambahnya, selain mesin basuh, ELBA turut memperkenalkan siri HYDRO iaitu vakum tanpa wayar Siri AIRGlide dengan sistem penapisan debu tertutup dan bekas kotoran automatik.
Dalam pada itu, ELBA turut memperkenalkan tiga mesin pencuci pinggan dengan inovasi terbaik.
“Queluxe menawarkan penyaluran detergen automatik dan fungsi pembersihan dram kendiri manakala, LavaWave pula menampilkan teknologi inverter senyap serta fungsi wap untuk mencuci dengan lebih bersih.
“Elysian menawarkan fungsi penjagaan fabrik pintar serta operasi senyap.
“Siri HYDRO Cleanse pula berfungsi sebagai pencuci lantai dengan berus pembersih tiga penjuru, sistem pembersihan diri dan pengering udara panas mencecah 60 darjah Celsius.
“Antara ciri utama mesin pencuci pinggan ialah teknologi AutoDoor, pensterilan UV dan penyimpanan udara segar sehingga 168 jam,” ujarnya.
Sementera itu, Sang Man berkata, pengembangan itu melengkapkan rangkaian memasak dan penyejukan ELBA yang telah diperkenalkan sebelum ini.
Menurutnya, konvensyen tersebut berupaya mengukuhkan jenama ELBA sebagai peneraju penyelesaian rumah tempatan yang inovatif, tahan lama dan mampu milik.
“ELBA sentiasa menjadi nadi kehidupan di rumah bermula dari dapur ke ruang tamu. Kami bangga terus bersama keluarga Malaysia dalam setiap detik kehidupan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
