Hampir 2,000 warga Australia daftar untuk keluar dari Israel, Iran

CANBERRA - Hampir 2,000 warga Australia telah mendaftar untuk mendapatkan bantuan meninggalkan Timur Tengah, menurut data terkini kerajaan, lapor Xinhua.
Menteri Perbendaharaan Jim Chalmers berkata pada Rabu bahawa lebih 1,000 warga Australia di Israel dan 870 lagi di Iran telah mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (DFAT) bagi mendapatkan bantuan kerajaan untuk keluar dengan selamat dari rantau tersebut.
Chalmers memberitahu radio Australian Broadcasting Corporation bahawa kerajaan sedang bekerjasama "rapat” dengan warga terbabit melalui DFAT dan memantau secara dekat perkembangan konflik yang sedang memuncak di Timur Tengah.
"Sudah tentu keutamaan utama kami adalah terhadap impak kemanusiaan akibat konflik yang semakin meruncing ini,” katanya.
"Dan tumpuan kami, dalam jangka masa terdekat, ialah bekerjasama dengan hampir 2,000 rakyat Australia yang telah menyatakan hasrat untuk keluar dari kawasan yang sangat berbahaya dan genting ketika ini.”
Setakat Isnin, seramai 350 warga Australia di Iran dan 300 di Israel telah memaklumkan kepada DFAT mengenai hasrat mereka untuk meninggalkan negara terbabit.
Menteri Industri Pertahanan, Pat Conroy pada Selasa berkata, kerajaan sedang merangka pelan untuk sama ada memindahkan warga Australia atau membantu mereka menaiki penerbangan komersial sebaik sahaja zon udara dibuka semula. - Bernama/Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
