Rusia beri amaran keras kepada AS jangan campur tangan konflik Israel-Iran

Sergei Ryabkov memberi amaran bahawa bantuan ketenteraan secara langsung oleh Amerika Syarikat kepada Israel boleh menggugat kestabilan situasi di Asia Barat secara drastik. Foto Agensi
Sergei Ryabkov memberi amaran bahawa bantuan ketenteraan secara langsung oleh Amerika Syarikat kepada Israel boleh menggugat kestabilan situasi di Asia Barat secara drastik. Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW – Rusia mengeluarkan amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) agar tidak memberikan bantuan ketenteraan secara langsung kepada Israel dalam perang yang sedang berlangsung dengan Iran, kerana tindakan itu disifatkan mampu menggugat kestabilan seluruh Asia Barat.

Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov, pada Rabu berkata, sebarang campur tangan ketenteraan oleh Washington dalam konflik antara Israel dan Iran akan memburukkan lagi keadaan yang sudah pun tegang.

“Ini akan menjadi langkah yang akan secara radikal mengganggu kestabilan keseluruhan rantau,” katanya menurut agensi berita Interfax.

Ketua Perkhidmatan Risikan Luar Rusia (SVR), Sergei Naryshkin, turut menyifatkan situasi semasa antara Iran dan Israel sebagai “amat kritikal”, dan menasihatkan AS agar tidak mempertimbangkan sebarang pilihan spekulatif untuk terlibat secara ketenteraan bersama Israel.

Sebelum ini, sumber yang mempunyai kaitan dengan perbincangan dalaman AS memaklumkan bahawa Presiden Donald Trump dan barisan penasihatnya sedang menimbangkan beberapa pilihan, termasuk kemungkinan menyertai Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran.

Pada 17 Jun, Trump dalam catatan di media sosial secara terbuka melontarkan cadangan agar pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dibunuh, namun kemudian menarik balik kenyataan itu dengan menyatakan: “Kami tidak akan membunuhnya... sekurang-kurangnya bukan buat masa ini.”

Ketegangan meningkat sejak 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara mengejut ke atas beberapa tapak nuklear utama Iran, selain menyasarkan saintis dan pemimpin kanan tentera republik itu.

Serangan tersebut dikecam keras oleh Rusia yang menyifatkannya sebagai tidak berasas dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa bandar utama di Israel, termasuk Tel Aviv, Ramat Gan dan Beersheba.

Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang sebelum ini menandatangani perjanjian perkongsian strategik dengan Iran pada Januari lalu, telah menggesa kedua-dua negara supaya segera menghentikan permusuhan dan kembali ke meja rundingan. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!