Polis mohon bantuan JPN kesan waris Cikgu Kwan Fong

JOHOR BAHRU - Polis memohon bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan waris kepada seorang guru wanita yang ditemui dalam keadaan reput di rumahnya di Bandar Selesa Jaya, Skudai, di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, setakat ini usaha untuk mengesan waris terdekat mangsa, Lo Kwan Fong, masih belum berhasil.
Menurutnya, langkah itu penting bagi melancarkan proses tuntutan mayat mangsa yang kini masih berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
“Setakat ini, mayat mangsa masih berada di HSA dan tiada waris terdekat tampil menuntutnya.
“Ada pihak sekolah yang ingin menuntut mayat mangsa namun kita tidak dapat membenarkannya. Keutamaan adalah waris terdekat terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, mayat seorang guru wanita ditemukan di dalam rumahnya selepas jiran terhidu bau busuk sebelum membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari sekitar jam 8 malam, Khamis lalu.
Siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal bersendirian dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh anggaran sebulan.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian tidak dapat dikenal pasti (unascertained) berikutan keadaan mayat yang sudah mengalami pereputan teruk.
Mengulas lanjut, Kumarasan berkata, mangsa dipercayai jarang bergaul dengan jiran sekeliling dan lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah.
“Keadaan dalam rumah juga didapati tidak terurus serta dipenuhi dengan botol dan tin minuman. Mangsa dipercayai jarang keluar rumah.
“Hasil siasatan turut mendapati tiada sebarang unsur jenayah berkaitan kematian mangsa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

