Trump dakwa AS kuasai ruang udara Iran, tahu lokasi Khamenei

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa beliau tidak merancang untuk membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei “buat masa ini”, namun dalam nada tegas turut menuntut agar Teheran melakukan “penyerahan tanpa syarat” di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak antara Iran dan Israel.
Dalam satu kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata, “Kami tahu di mana ‘Pemimpin Tertinggi’ itu bersembunyi. Dia sasaran mudah, tetapi buat masa ini kami tidak akan mengambil tindakan terhadapnya.”
Beliau menambah bahawa kesabaran AS “semakin menipis” dan menegaskan bahawa serangan terhadap orang awam atau tentera AS tidak akan dibiarkan.
Beliau menambah bahawa kesabaran AS “semakin menipis” dan menegaskan bahawa serangan terhadap orang awam atau tentera AS tidak akan dibiarkan.
Kenyataan itu dibuat ketika konflik udara antara Israel dan Iran memasuki hari kelima, dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan peluru berpandu dan dron.
Trump turut menyatakan bahawa AS mempunyai “kawalan penuh ke atas ruang udara Iran” dan memberi amaran bahawa tindakan lebih keras akan diambil sekiranya Iran terus melancarkan serangan.
Sementara itu, Naib Presiden JD Vance menyatakan bahawa Trump masih menunjukkan “kebijaksanaan dan kawalan diri” dalam menangani konflik ini, namun tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut terhadap program pengayaan uranium Iran.
Trump juga menandatangani kenyataan bersama G7 yang menyokong keselamatan Israel dan menyifatkan Iran sebagai punca utama ketidakstabilan serantau.
Namun, kenyataan akhir itu tidak menyebut gesaan agar kedua-dua pihak menunjukkan kawalan diri, mencerminkan pendirian lebih keras terhadap Teheran. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!