Warga emas 'pergi' dalam sunyi: Tuntut perubahan sistem pemantauan kebajikan

Kematian warga emas secara bersendirian dalam rumah tanpa disedari masyarakat sekeliling bukan lagi perkara luar biasa di negara ini. Gambar hiasan
Kematian warga emas secara bersendirian dalam rumah tanpa disedari masyarakat sekeliling bukan lagi perkara luar biasa di negara ini. Gambar hiasan
A
A
A

KEMATIAN warga emas secara bersendirian dalam rumah tanpa disedari masyarakat sekeliling bukan lagi perkara luar biasa di negara ini.

Situasi ini menunjukkan betapa warga emas semakin terasing, sama ada disebabkan oleh gaya hidup moden, kepincangan institusi kekeluargaan atau ketiadaan sistem sokongan sosial yang berkesan.

Lebih malang, keadaan ini turut mencerminkan kegagalan kita sebagai sebuah masyarakat untuk memastikan kebajikan golongan ini terus terbela, walaupun mereka pernah menyumbang kepada pembangunan negara satu ketika dahulu.

Terbaharu, pasangan suami isteri warga emas ditemui meninggal dunia di dalam rumah mereka di Kampung Sungai Ruan, Raub, pada Sabtu lalu.

Mayat mangsa, Wong Tong Seng, 75, ditemui dalam keadaan terbaring di bahagian dapur, manakala mayat isterinya, Loh Kam Ngo, 73, pula di dalam bilik tengah.

Insiden menyayat hati ini menimbulkan persoalan sama ada sistem sokongan sosial sedia ada benar-benar berfungsi dalam melindungi warga emas yang semakin terpinggir.

Lebih membimbangkan, kes sebegini terus berulang walaupun ia sering menjadi tajuk berita sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Persoalannya, adakah cukup hanya bergantung kepada keprihatinan jiran dan masyarakat sekeliling, sedangkan kita sedar tidak semua kawasan mempunyai hubungan kejiranan yang rapat?

Artikel Berkaitan:

Kerajaan sebelum ini pernah menyatakan hasrat memperkasakan kebajikan warga emas, namun pelaksanaannya masih dilihat bersifat reaktif dan bukannya pencegahan awal.

Sudah tiba masanya satu sistem pemantauan berstruktur diwujudkan bagi mengenal pasti warga emas yang tinggal bersendirian atau berisiko terabai.

Contohnya, pangkalan data khusus yang dikemas kini secara berkala boleh membantu pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan pemantauan lebih sistematik.

Selain itu, inisiatif seperti kunjungan berkala atau pemantauan digital menggunakan teknologi semasa juga boleh dipertimbangkan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Apa yang lebih penting, isu ini memerlukan satu dasar nasional yang menyeluruh dan merentas kementerian, bukan hanya disandarkan kepada satu agensi tertentu semata-mata.

Apakah lagi yang perlu berlaku untuk kerajaan mengangkat isu ini sebagai keutamaan yang tidak boleh ditangguh?

Sampai bila warga emas perlu terus ‘mati dalam senyap’ sebelum ada perubahan dasar yang benar-benar berkesan?

Selagi tiada tindakan menyeluruh dan konsisten, isu ini akan terus menghantui masyarakat, mencerminkan ketidaksediaan negara menghargai warga emas sebagai aset yang tidak harus dilupakan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!