Konflik Iran-Israel berlarutan lebih lama?

TEHERAN - Konflik Iran-Israel yang tercetus pada tahun lalu berlaku dalam waktu singkat dan hanya berlangsung selama beberapa jam.
Kedua-dua seteru itu kemudiannya mengambil langkah untuk meredakan ketegangan tersebut.
Tetapi, situasi berbeza selepas perang terbuka baharu antara Teheran dan Tel Aviv meletus pada Jumaat lalu berikutan skop serangan telah diperluaskan dan mengakibatkan kematian dan kebinasaan lebih besar.
Peperangan tersebut dijangka berlarutan selama seminggu atau mungkin lebih lama kerana Iran dan Israel masing-masing tidak menghiraukan desakan komuniti antarabangsa supaya mencari jalan damai.

Kerajaan 'ekstremis' pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggunakan alasan meneruskan kempen pengeboman kononnya untuk menghentikan program nuklear Teheran.
Iran pula berkeras dengan pendirian mereka dan enggan menamatkan program pengayaan uranium yang didakwa sebagai sebahagian daripada usaha untuk membangunkan senjata nuklear.
Matlamat perang Zionis mungkin hanya angan-angan Mat Jenin kerana ia tidak memiliki keupayaan yang diketahui umum untuk memusnahkan kemudahan pengayaan nuklear penting yang terletak jauh di bawah tanah.
"Ia semestinya satu peperangan yang akan berlangsung untuk tempoh agak lama kerana Israel tetap mahu merealisasikan matlamat mereka supaya Iran tidak lagi dapat mengekalkan keupayaan untuk menjalankan program pengayaan uranium.
"Jika pelan itu tidak berhasil, operasi ketenteraan Tel Aviv akan dianggap gagal," kata felo di kumpulan penyelidik, Majlis Atlantik berpusat di Washington, Daniel B Shapiro.
Israel dengan angkuh mencanangkan kejayaan mereka membedil kompleks nuklear Iran di beberapa lokasi dan membunuh komander tentera dan saintis nuklear serta menyasarkan industri tenaga sebagai cubaan melemahkan Teheran.
"Iran bagaimanapun enggan menyerah kalah meskipun Israel telah 'menguasai' ruang udara negara tersebut. Tel Aviv mengharapkan kejatuhan seteru mereka, namun Teheran kekal memegang kuasa selain masih mempunyai stok misil balistik dalam jumlah yang besar.
"Teheran belum lagi mahu kibarkan bendera putih. Ia langsung tidak goyah," kata Ketua Penganalisis Asia Barat di Chatham House berpusat di London, Sanam Vakil.
Menanti respons Trump
Ketika ini, kebanyakan pemerhati situasi yang kian tegang di Asia Barat menantikan tindak balas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Hal ini kerana, Washington mempunyai keupayaan untuk memusnahkan kemudahan nuklear Fordo yang tidak dimiliki sekutu kuatnya.
Penganalisis percaya Trump boleh menggunakan pendekatan seperti itu jika Iran mempercepatkan projek pembinaan bom nuklear yang paling dikhuatiri Barat.
"Trump perlu membuat keputusan kritikal sama ada AS perlu campur tangan atau sebaliknya," menurut Shapiro.

Tetapi, Trump nampaknya cuba mengelakkan konfrontasi secara langsung dengan Teheran melainkan jika berlaku serangan ke atas kepentingan AS dan rakyat mereka.
Selama beberapa bulan, Trump cuba berunding dengan Iran supaya ia bersetuju menamatkan program pengayaan uranium tanpa melibatkan campur tangan tentera Israel.
Tetapi, rundingan itu menemui jalan buntu berikutan Teheran enggan tunduk dengan desakan beliau yang kemudiannya membawa kepada konflik terbuka baharu bersama Tel Aviv.
Segelintir pemerhati juga percaya Trump berupaya menentukan hala tuju peperangan tersebut dan beliau mungkin boleh memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan kempen serangan jika Iran mula 'berlembut' dan akur dengan tuntutannya.
Sebelum ini, kepimpinan Iran pernah mencapai persetujuan yang tidak dijangka pada akhir Perang Iran-Iraq pada 1980-an.
Pemimpin Agung pada masa itu, Ayatollah Khomeini akhirnya sedia berkrompomi berikutan pemerintah tidak lagi mampu menanggung kos peperangan yang kian meningkat.
"Khomeini membuat perubahan 180 darjah. Israel berharap tindakan sama daripada kepimpinan sekarang di Iran.
"Tetapi, sejarah menunjukkan ia mungkin mengambil masa. Perjanjian yang menamatkan Perang Iran-Iraq hanya dicapai selepas tempoh lapan tahun," jelas Meir Javedanfar di Reichman University di Israel. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!