Konflik Iran-Israel: Kapal pertama tiba bawa rakyat Israel pulang

BAITULMAQDIS – Sebuah kapal penumpang pertama yang membawa lebih 1,500 rakyat Israel yang terkandas di luar negara akibat konflik Iran-Israel selamat tiba di negara itu pada Jumaat, menurut kenyataan tentera.
Menurut tentera, kapal tersebut berlepas dari Pelabuhan Limassol di Cyprus dan berlabuh di Pelabuhan Ashdod sebagai sebahagian daripada Operasi ‘Safe Return’ yang dikendalikan Kementerian Pengangkutan Israel.
“Kapal itu dikawal rapi sepanjang pelayaran oleh sebuah kapal peluru berpandu Tentera Laut Israel,” kata kenyataan tersebut.
Tindakan itu diambil selepas semua lapangan terbang Israel ditutup dan penerbangan keluar dibatalkan susulan serangan udara negara itu ke atas Iran pada Jumaat minggu lalu.
Menurut Kementerian Pengangkutan, dianggarkan antara 100,000 hingga 150,000 rakyat Israel terkandas di pelbagai negara.
Seramai 5,000 rakyat Israel berjaya pulang menerusi penerbangan pada Rabu dan Khamis, kata Menteri Pengangkutan, Miri Regev, sambil menambah jumlah penerbangan pemulangan dijangka meningkat dua kali ganda pada Jumaat.
Syarikat penerbangan nasional, El Al pula memaklumkan akan mengendalikan penerbangan khas dari Eropah, Amerika Syarikat dan Thailand bagi membawa pulang rakyat yang masih berada di luar negara. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!