Dulu takut naik bas, kini bebas bergerak sendiri berkat aplikasi AI

Kisah Muhammad Razlan menikmati keindahan ketika menaiki kereta api walaupun cacat penglihatan mencuri perhatian warganet. Gambar kanan: Muhammad Razlan bersama isteri.
Kisah Muhammad Razlan menikmati keindahan ketika menaiki kereta api walaupun cacat penglihatan mencuri perhatian warganet. Gambar kanan: Muhammad Razlan bersama isteri.
A
A
A

SHAH ALAM – Kemajuan teknologi kini membuka peluang baharu kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan untuk menjalani kehidupan seharian dengan lebih mudah dan berdikari.

Seorang pengguna OKU penglihatan, Muhammad Razlan Ibrahim Mukthar, 31, berkata, pelbagai aplikasi termasuk peranti berasaskan kecerdasan buatan (AI) sangat membantu individu buta untuk membaca, memahami persekitaran dan bergerak secara bebas.

Menurutnya, antara aplikasi yang sering digunakan ialah Moovit, Google Maps, ChatGPT dan Be My Eyes.

“Saya banyak guna AI seperti ChatGPT untuk menganalisis sesuatu perkara kerana ia lebih cepat dan mudah. Kalau tidak, dulu sebelum ada AI, kami mungkin hanya guna PowerPoint dan sebagainya, tetapi mengambil masa yang agak lama," katanya.

Tambahnya, dalam aspek mobiliti pula, pelbagai aplikasi seperti Google Maps dan Moovit menjadi alat penting dalam membantu beliau bergerak dengan lebih yakin.

"Aplikasi seperti ini membuka peluang lebih luas untuk kami meneroka pengangkutan awam tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

“Dulu sebelum ada Moovit, kami yang buta selalu elak naik bas sebab tak tahu nak turun di hentian mana. Susah nak agak, tetapi sekarang saya boleh tahu ketibaan bas dan paling penting boleh tetapkan di mana mahu turun. Nanti aplikasi akan beri notifikasi bila hampir sampai,” katanya.

Tambah suami kepada Nadiatul Farhana Mat Sihap, 36, ini, cabaran sebenar bukan terletak pada kekurangan diri, tetapi pada sikap masyarakat yang masih kurang memahami keperluan golongan OKU.

Jelasnya, golongan OKU juga ingin menjadi sebahagian daripada masyarakat dan menyumbang secara aktif mengikut kemampuan.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang diperlukan hanyalah peluang dan sokongan. Walaupun kehilangan penglihatan sepenuhnya sejak usia 10 tahun, saya tetap bersyukur.

“Saya sudah didedahkan sejak kecil untuk berdikari. Jadi apabila hilang penglihatan sepenuhnya, saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dan terus hidup dengan apa yang ada,” ujarnya.

Sementara itu, Nadiatul Farhana memberitahu dia tidak pernah menyangka akan bertemu jodoh dengan Muhammad Razlan melalui sebuah aplikasi beberapa tahun yang lepas.

Tambahnya, tiada sebarang keraguan atau halangan untuk menerima suami walaupun dia cacat penglihatan.

Beliau memberitahu, baginya cinta itu bukan pada penglihatan tetapi pada penerimaan dan keikhlasan.

“Sifat matang, kebijaksanaan, pegangan agama yang kuat serta kemampuan untuk membimbing membuatkan saya yakin lelaki itu ialah insan yang tepat untuk dijadikan pasangan hidup.

“Saya sendiri pun banyak kekurangan, tapi suami tetap menerima saya sepenuh hati. Itu yang membuatkan saya benar-benar tersentuh.

“Kami saling melengkapi. Sebagai contoh, sebelum berkahwin saya langsung tidak pernah berlari, tapi selepas dia ajak sertai acara 'fun run', ia jadi hobi kami bersama dan ternyata sangat menyeronokkan," ujarnya.

Pasangan ini juga aktif di media sosial, terutamanya TikTok, selain menganjurkan aktiviti seperti ‘fun walk’ di sekitar Kuala Lumpur bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cabaran dan keperluan golongan cacat penglihatan, khususnya dari segi infrastruktur laluan pejalan kaki.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!