Iran penyelamat golongan tertindas di seluruh dunia - Amanah

KUALA LUMPUR – Rakyat Iran diseru untuk terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan pentadbiran negara itu dalam menghadapi tekanan susulan peningkatan ketegangan dengan Israel.
Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Raja Bahrin Shah berkata, bahawa suara tunggal Iran dalam membalas serangan pencerobohan Israel dilihat sebagai penyelamat kepada golongan tertindas di seluruh dunia, terutamanya dalam era moden yang semakin hilang nilai-nilai kemanusiaan.
“Iran kini menjadi satu-satunya suara keberanian yang bermaruah di rantau yang ketandusan nilai kemanusiaan, meskipun dipenuhi kekayaan dan kemewahan.
“Ini mungkin harapan terakhir bagi rantau ini dan seluruh umat manusia yang sedang lemas dalam gelombang kemunafikan dan ketidakpedulian,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam pertemuan solidariti di Kedutaan Republik Islam Iran, di sini, pada Selasa.
Turut hadir ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid; aktivis Palestin, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua; serta Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali.
Serangan balas Iran ke atas Israel sejak Jumaat lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang dan mencederakan lebih 370 orang, menurut laporan KosovaPress.
Israel sebelum ini telah melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas wilayah Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mencetuskan gelombang serangan peluru berpandu dan dron oleh pihak Iran.
Raja Bahrin berkata, keberanian Iran turut memalukan negara-negara jiran Palestin yang jauh lebih kaya dan maju, namun kekal membisu terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Gaza dan Tebing Barat.
Menurut beliau, usaha gigih Iran dalam melawan dan memberikan tamparan kepada keangkuhan Israel merupakan detik penting dalam sejarah dunia.
“Lebih mengagumkan, semua itu dicapai ketika Iran masih berhadapan sekatan ekonomi global yang parah dan tekanan daripada kuasa besar dunia yang bersatu.
“Ketika negara-negara Islam yang kaya dan maju memilih untuk memalingkan muka daripada penderitaan rakyat Palestin yang dibunuh serta dibiarkan kebuluran, Iran bangkit mempertahankan keadilan.
“Negara-negara Islam lain yang berjiran dengan Palestin terus tunduk dan berdiam diri tanpa rasa malu, membiarkan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel ke atas rakyat Palestin berterusan tanpa henti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!