China, Rusia didakwa hantar peluru berpandu bantu Iran

Seorang lelaki Yahudi Ultra-Ortodoks memeriksa serpihan di dalam sebuah rumah yang rosak akibat serangan peluru berpandu Iran di selatan Israel .- Agensi
Seorang lelaki Yahudi Ultra-Ortodoks memeriksa serpihan di dalam sebuah rumah yang rosak akibat serangan peluru berpandu Iran di selatan Israel .- Agensi
A
A
A

BAITULMAQDIS – China dan Rusia didakwa membantu Iran menghantar peluru berpandu ke Asia Barat, melalui penghantaran udara , ketika konflik bersenjata antara Teheran dan Tel Aviv terus memuncak.

Menurut saluran berita Channel Fourteen dari Israel, kedua-dua kuasa besar itu dipercayai memainkan peranan dalam penghantaran senjata strategik ke Iran, meskipun belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada Beijing atau Moscow.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar China, Wang Yi, pada Sabtu lalu menyatakan sokongan penuh terhadap Iran, dan menegaskan bahawa pendekatan diplomasi untuk menyelesaikan isu nuklear Iran belum pun digunakan sepenuhnya.

Sementara itu, Wall Street Journal melaporkan bahawa Iran telah membuat pesanan beribu tan komponen peluru berpandu dari China, termasuk bahan ammonium perchlorate yang mampu menghasilkan ratusan peluru berpandu balistik.

Penghantaran dijangka tiba di Teheran dalam beberapa bulan akan datang.

Syarikat yang dikaitkan dengan pembelian itu ialah Pishgaman Tejarat Rafi Novin Co yang dilaporkan menempah bahan dari Lion Commodities Holdings Ltd berpangkalan di Hong Kong.

Berikutan itu, pada 6 Jun lalu, Amerika Syarikat mengumumkan sekatan ke atas 10 individu dan 27 entiti, termasuk beberapa syarikat Hong Kong seperti Hero Companion Limited, Plzcome Limited dan Kinlere Trading Limited, yang dikaitkan dengan rangkaian kewangan Iran.

Serangan balas Iran ke atas Israel sejak Jumaat lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang dan mencederakan lebih 370 orang, menurut laporan KosovaPress.

Artikel Berkaitan:

Israel sebelum ini telah melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas wilayah Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mencetuskan gelombang serangan peluru berpandu dan dron dari pihak Iran.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!