Raja Ema, anak-anak maafkan arwah Sheqal

Raja Ema bersama dua anaknya iaitu Putera Ammar dan Putera Al‑Kasyah sudah memaafkan Sheqal dan menghalalkan semuanya.
Raja Ema bersama dua anaknya iaitu Putera Ammar dan Putera Al‑Kasyah sudah memaafkan Sheqal dan menghalalkan semuanya.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyanyi dan pelakon popular era 80-an, Raja Ema Raja Ibrahim menzahirkan rasa reda dan keikhlasan atas pemergian bekas suaminya, penyanyi Sheqal yang menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Selasa.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya, Raja Ema berkata, dia dan dua anak iaitu Putera Ammar dan Putera Al‑Kasyah sudah memaafkan dan menghalalkan semuanya.

"Saya dan anak-anak dengan seikhlas hati menghalalkan dan memaafkan semuanya.

"Moga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan para solohin," tulisnya menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya.

Raja Ema.
Raja Ema.

Pasangan ini pernah membina rumah tangga pada tahun 1990-an dan dikurniakan dua cahaya mata, bagaimanapun rumah tangga mereka tidak kekal lama.

Sheqal kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Normah Mohd Yusoff, 58, dan dikurniakan sepasang anak iaitu Muhammad Fatullah Shaharin, 21, dan Ummu Hani, 20 tahun.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Sheqal atau nama sebenarnya Shahrin Salehuddin, 60, pernah mencipta fenomena tersendiri menerusi genre lagu berirama Nusantara yang menjadi siulan pada era 90-an.

Antara lagu popular beliau termasuk “Cinta Nusantara”, “Kasih Tak Terurai” dan beberapa lagu berentak Melayu moden yang memikat hati pendengar dengan melodi lembut serta lirik puitis.

Allahyarham turut dikenali sebagai seorang yang aktif dalam penulisan syair dan seni lukisan pada fasa akhir kehidupannya.

Arwah mula diuji dengan masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu.

Beliau diserang angin ahmar sebanyak empat kali sejak 2020, menyebabkan sebelah badan lumpuh dan pergerakan menjadi terhad.

Selain itu, beliau juga menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan perlu menjalani rawatan berkala.

Sheqal ditidurkan sejak 6 Jun lalu dan tidak sedarkan diri sehinggalah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Jaafar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!