Sheqal berbakat besar, ada keunikan tersendiri - Nash

Nash ditemui di pekarangan Masjid Taman Tuanku Jaafar Senawang pada Selasa.
Nash ditemui di pekarangan Masjid Taman Tuanku Jaafar Senawang pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Pemergian penyanyi era 90-an, Shaharim Salehuddin atau lebih dikenali sebagai Sheqal disifatkan sebagai satu kehilangan besar dalam industri muzik tanah air.

Rakan artis, Datuk Nashrudin Elias, 66, atau lebih mesra dipanggil Nash berkata, Allahyarham seorang yang berbakat besar dan mempunyai keunikan tersendiri ketika berkarya.

"Sheqal bukan sekadar seorang insan seni biasa. Beliau memiliki bakat yang besar dan keunikan yang tersendiri.

"Apa yang paling saya kagumi ialah persembahannya yang sangat berbeza dan unik.

"Saya pernah berkongsi pentas dengan beliau dan setiap kali melihatnya membuat persembahan, jelas kelihatan identitinya yang tersendiri - dengan jeritan khasnya, lenggok suara yang merdu dan gaya yang tidak dimiliki oleh mana-mana artis lain. Beliau adalah satu dalam sejuta," katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Taman Tuanku Jaafar Senawang di sini pada Selasa.

Nash turut berkata, Allahyarham bukan hanya berbakat dalam nyanyian tetapi mahir melukis selain mempunyai kepakaran dalam bidang jahitan baju, kasut dan beg kulit.

"Saya sendiri sangat kagum dengan karya-karya dihasilkannya.

"Sesiapa yang memiliki hasil karyanya pasti sangat bertuah kerana ia sungguh unik dan seninya bernilai tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Nash berkata, Allahyarham juga disifatkan sebagai seorang yang sangat baik hati dan suka mendoakan kebaikan untuk orang lain.

"Sepanjang 40 tahun mengenalinya, beliau sangat mudah mesra, suka senyum dan gemar membuat orang lain ketawa.

"Walaupun usia semakin meningkat dan kami jarang berjumpa, kenangan bersamanya tetap segar dalam ingatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!