Tubuh panel penasihat SST sektor kreatif, tangani cabaran pelaksanaan cukai - PEFEM

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang menubuhkan Panel Penasihat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) Sektor Kreatif yang merangkumi wakil industri fesyen, seni, acara dan media bagi menangani cabaran pelaksanaan semakan cukai itu ke atas perkhidmatan terpilih.
Presiden Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PEFEM), Bkay Nair berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan dasar percukaian lebih adil dan mengambil kira keunikan operasi sektor kreatif.
“Ini bukan permintaan untuk pengecualian, tetapi permintaan agar dasar yang lebih adil diwujudkan. Perniagaan kreatif memerlukan pendekatan dasar yang bersifat inklusif dan fleksibel, bukan satu polisi menyeluruh untuk semua.
“Kami menyuarakan kebimbangan serius terhadap perkara itu, jadi kami harap agar wujudnya dialog dasar yang segera untuk menangani kesan tidak seimbang dan kurang diberi perhatian terhadap sektor fesyen serta kreatif negara.
“PEFEM menegaskan bahawa struktur unik industri fesyen yang berasaskan projek, bermusim dan bergantung kepada acara menjadikannya antara paling terjejas. Tanpa sokongan bersasar, perubahan itu berpotensi menggugat kelangsungan kreativiti, kesinambungan operasi serta penyertaan akar umbi dalam sektor ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan peluasan skop SST akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2024, melibatkan beberapa perkhidmatan profesional termasuk penyewaan ruang komersial.
Melalui peluasan skop berkenaan, kadar Cukai Perkhidmatan telah dinaikkan daripada enam kepada lapan peratus, kecuali bagi sektor perkhidmatan makanan dan minuman serta telekomunikasi yang kekal pada kadar enam peratus.
Dalam pada itu, Bkay berkata, perkara itu bukan sekadar isu cukai kerana ia memberi kesan langsung kepada model operasi keseluruhan ekosistem fesyen di Malaysia.
“Perniagaan fesyen tidak beroperasi secara bulanan seperti sektor lain. Ia bergantung pada kempen, pertunjukan dan kolaborasi yang kini menghadapi peningkatan kos yang ketara.
“Salah satu isu utama yang diketengahkan ialah tekanan operasi terhadap pelaksanaan acara fesyen dan pelancaran koleksi. Sebuah kempen fesyen biasanya melibatkan sehingga lapan hingga 10 penyedia perkhidmatan luar seperti jurusolek, penata gaya, pengurusan pencahayaan dan bunyi, sewaan tempat, koreografer serta pencipta kandungan.
“Sebahagian besar perkhidmatan ini kini tertakluk kepada SST. Meskipun penting kepada kejayaan acara, perkhidmatan ini tidak menjana pendapatan langsung, sekali gus membebankan pereka atau penganjur dari segi kewangan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya turut memberi amaran berkenaan risiko berlakunya ‘kesunyian kreatif’ dalam kalangan pemain industri.
Menurut Bkay, satu lagi cabaran praktikal dalam kalangan usahawan mikro dan kecil adalah kebanyakan mereka menguruskan perniagaan secara individu atau dalam pasukan kecil.
“Beban tambahan seperti pemahaman perundangan cukai, pemfailan SST dan pelarasan harga memberikan tekanan kepada operasi harian mereka.
“Jadi, kami harap, agar garis panduan SST yang lebih ringkas dan bengkel pematuhan disediakan khusus untuk usahawan kreatif serta perniagaan mikro.
“Perkenalkan juga bantuan peralihan atau kredit cukai kepada perniagaan kecil yang sedang menyesuaikan diri dengan rangka kerja SST baharu. Sifat perniagaan bermusim dan berasaskan projek turut perlu diiktiraf dalam perancangan dasar percukaian negara,” kata beliau.
Ulasnya, PEFEM kekal komited terhadap kerjasama dengan pihak pembuat dasar dan usaha membina kapasiti industri secara berterusan ke arah ekosistem fesyen yang mampan, inklusif serta berdaya tahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!