Penting tangani cabaran keselamatan serantau-Mindef

SHAH ALAM - Bertepatan dengan Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia melalui Kementerian Pertahanan (Mindef) menekankan pentingnya menangani cabaran keselamatan serantau, khususnya di wilayah Indo-Pasifik dan usaha memperkukuhkan kerjasama pertahanan antara negara ASEAN serta Amerika Syarikat (AS).
Mindef dalam satu kenyataan berkata, isu berkenaan antara perkongsian pandangan diberikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengetuai delegasi kementeriannya ke International Institute for Strategic Studies Shangri-La Dialogue 22nd Asia Security Summit (IISS SLD 2025) yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 30 Mei sehingga 1 Jun di Hotel Shangri-La, Singapura.
Perkara itu dibangkitkan Mohamed Khaled ketika menghadiri pertemuan pelbagai hala melibatkan menteri pertahanan ASEAN, Timor Leste dan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.
“Antara yang ditegaskan adalah kepentingan kepada semua pihak agar terus mendukung nilai dan teras utama ASEAN bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kestabilan rantau ini terus terpelihara melalui kerangka ASEAN atau ASEAN-led & ASEAN-driven framework terutamanya berkaitan situasi di Myanmar dan Laut China Selatan.

“Kehadiran Yang Berhormat Menteri Pertahanan ke persidangan SLD 2025 adalah penting bagi memastikan hubungan kerjasama pertahanan antara Malaysia dengan negara-negara sahabat dapat dikekalkan.
“Seterusnya hubungan dipertingkan selaras dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara iaitu perkongsian berwibawa yang menekankan hubungan pertahanan antarabangsa dalam memastikan kedaulatan negara, kestabilan serantau dan keamanan sejagat," kata kenyataan itu pada Ahad.
Turut serta dalam delegasi lawatan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Mindef, Mohd Yani Daud; Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri dan Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi dan Latihan Pertahanan MK Angkatan Tentera (ATM), Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin.
SLD 2025 merupakan persidangan keselamatan bertaraf antarabangsa anjuran Institut Antarabangsa Kajian Strategik (IISS) yang bermula pada 2002 di Singapura itu melibatkan penyertaan menteri pertahanan, pegawai tertinggi tentera dan pegawai tertinggi kerajaan dari negara-negara di rantau Asia Pasifik serta benua Eropah.
Menerusi persidangan itu juga, Mohamed Khaled turut bertemu dengan barisan menteri pertahanan negara rakan Five Power Defence dan United Kingdom (FPDA), yang terdiri daripada Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom (UK) bagi mengulangi komitmen hubungan dan kerjasama pertahanan yang telah melangkaui usia 50 tahun.
"Di samping penyertaan persidangan ini, Yang Berhormat Menteri turut bertemu dengan rakan sejawat beliau, Chan Chun Sing yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan Singapura pada 23 Mei baru-baru ini.

“Dalam konteks ASEAN juga, Yang Berhormat Menteri Pertahanan teruja dan menaruh harapan untuk kerjasama yang lebih rapat bagi memastikan rantau ini kekal bebas, stabil dan selamat," menurut kenyataan itu.
Mindef memaklumkan, Mohamed Khaled turut bertemu Menteri Pertahanan Sweden, Dr Pal Jonson; Menteri Angkatan Tentera Perancis, Sebastien Leconu; Menteri Pertahanan Jepun, Gen Nakatani dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, TYT Richard Marles.
Hasil pertemuan tersebut, kesemua barisan menteri berkenaan menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuhkan hubungan dan kerjasama pertahanan sedia ada dalam pelbagai bidang.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan Perutusan Khas pada hari kedua IISS SLD 2025 dengan menyentuh mengenai perkongsian strategi Asia Tenggara dalam soal memperkasakan kerjasama serantau, ketahanan ekonomi dan mempertahankan autonomi serantau di tengah-tengah cabaran global.
Dalam aspek keselamatan serantau, Perdana Menteri turut kongsikan antara usaha berterusan ASEAN dalam mendepani krisis di Myanmar dan pendekatan berhati-hati yang diambil melibatkan pertikaian di Laut China Selatan.
“Dengan tekad, Malaysia telah mengambil pendekatan tidak berpihak, memberi penekanan terhadap keadilan dan keterangkuman, serta menolak 'sphere of influence' dan politik blok," ujar kenyataan itu.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengiringi Anwar ke pertemuan bersama Hegseth dan bersama- sama menerima kunjungan hormat daripada Presiden Global Boeing, Dr Brendan Nelson AO.
Menurut Mindef, pertemuan dengan Hegseth merupakan terjemahan kepada hubungan akrab dalam banyak aspek termasuklah pertahanan antara Malaysia dan AS.
“Selain itu, kunjungan hormat Presiden Global Boeing mempamerkan Malaysia terus menjadi tumpuan dan fokus syarikat multinasional selain bakal membuka peluang untuk lebih banyak kerjasama industri, khususnya dalam menyokong pembangunan industri pertahanan tempatan," katanya.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
