Ka Siong gesa kerajaan semak semula kadar pelepasan cukai individu

Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menggesa kerajaan mempertimbangkan semakan semula kadar pelepasan cukai individu dan tanggungan yang kekal pada kadar RM9,000 sejak lebih sedekad lalu.

Beliau berkata, kadar tersebut tidak pernah dikaji semula sejak 15 tahun lalu walaupun kadar inflasi terus meningkat.

"Saya tanya, bila kerajaan bersedia untuk tingkatkan kadar pelepasan cukai untuk individu dan tanggungan sebanyak RM9,000, memandangkan ia tidak pernah disemak sejak tahun 2010.

"Menurut jawapan secara bertulis yang saya terima, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) tidak berhasrat ke arah itu," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Ka Siong meminta Menteri Kewangan menyatakan kesediaan kerajaan untuk meningkatkan kadar pelepasan cukai bagi individu dan tanggungan yang kekal pada RM9,000 sejak 2010.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana kajian telah dilakukan bagi menyesuaikan kadar tersebut dengan keadaan semasa, mengambil kira peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.

Bagaimanapun, Presiden MCA itu turut memuji langkah yang diambil oleh MOF dalam membantu pembayar cukai melalui pelbagai inisiatif.

Jelasnya, antara inisiatif yang disediakan adalah pelepasan cukai bagi rawatan perubatan, elaun penjagaan anak, golongan orang kurang upaya (OKU) dan insurans pendidikan serta perubatan.

“Saya puji langkah-langkah yang diambil MOF bagi membantu pembayar cukai menerusi beberapa inisiatif terutama dari aspek rawatan perubatan, elaun penjagaan anak, OKU dan insurans pendidikan serta perubatan.

Artikel Berkaitan:

“Pendirian saya berhubung perkara ini kekal konsisten. Setelah 15 tahun berlalu, inflasi telah meningkat dengan ketara dan wajarlah bagi kerajaan menaikkan amaun pelepasan diri dan tanggungan ke RM12,000 yang bersamaan dengan RM1,000 setiap bulan," ujarnya.

Tambahnya, beliau yakin peningkatan kadar pelepasan cukai itu akan memberi manfaat besar kepada golongan B40 dan M40 yang paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!