Pusat hiburan tawar gadis Myanmar diserbu

KUALA LUMPUR - Pusat hiburan berkonsepkan kafe di Desa Sri Hartamas, di sini, yang menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) dan beroperasi 12 jam setiap hari, diserbu polis pada Isnin.
Op Noda bermula kira-kira jam 11.15 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Balai Polis Sri Hartamas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, seramai 10 warga Myanmar berusia 22 hingga 35 tahun ditangkap.
Katanya, tangkapan terdiri daripada lima wanita dipercayai GRO, empat lelaki merupakan pekerja dan seorang lagi ialah penjaga premis.
"Polis telah merampas pelbagai barang antaranya buku catitan, peralatan audio serta minuman keras.
"Semakan awal mendapati pusat hiburan disyaki beroperasi tanpa lesen sah, menggajikan pekerja asing dan langgar syarat permit," katanya pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan awal premis mula beroperasi dari jam 7 petang hingga 7 pagi setiap hari dengan kebanyakan pelanggan terdiri daripada warga Myanmar.
Tambahnya, GRO terbabit dipercayai memperoleh pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
"Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 76 Akta Eksais 1976," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!