Budak disumbat dalam guni, dibunuh gara-gara 'mulut jahat' pengasuh

Mayat kanak-kanak berusia 1 tahun 11 bulan (kiri) ditemui oleh seorang jemaah masjid ketika hendak menunaikan solat Subuh pada pagi Jumaat.
Mayat kanak-kanak berusia 1 tahun 11 bulan (kiri) ditemui oleh seorang jemaah masjid ketika hendak menunaikan solat Subuh pada pagi Jumaat.
A
A
A

KALIMANTAN - Seorang kanak-kanak ditemui maut dalam sebuah guni di kawasan masjid di Singkawang di sini dipercayai dibunuh oleh seorang lelaki dikenali sebagai Uray Abadi.

Mangsa, Rafa yang berusia 1 tahun 11 bulan sebelum itu dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya, Riska sekitar jam 11.45 hingga 12 tengah hari pada 10 Jun lalu.

Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polis Resor (Polres) Singkawang, AKP Deddi Sitepu, suspek dipercayai membawa mangsa menaiki basikal dalam keadaan masih hidup sebelum memasukkannya ke dalam guni dan membuangnya ke kawasan semak-samun.

Siasatan mendapati suspek membawa Rafa pulang ke rumahnya terlebih dahulu yang terletak hanya beberapa buah rumah dari kediaman pengasuh kanak-kanak itu.

Namun, suspek bertindak memasukkannya ke dalam guni, lalu meletakkan guni itu ke dalam bakul basikal sebelum mengayuh ke arah kawasan perkuburan di Jalan Veteran.

Suspek ketika dibawa ke balai polis. Agensi
Suspek ketika dibawa ke balai polis. Agensi

Suspek kemudiannya meletakkan guni berkenaan di beranda sebuah masjid berhampiran tanah perkuburan.

Namun pada waktu malam, Uray mengambil semula guni tersebut.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan kebingungan, Uray akhirnya membuang guni itu ke kawasan semak berhampiran Jalan Man Model.

Tidak lama selepas itu, suspek kembali ke lokasi buangan untuk memeriksa keadaan mangsa dan mendapati sudah tidak bernyawa sebelum membawa semula guni tersebut untuk meletakkannya di pintu Masjid Husnul Khotimah.

Mayat Rafa ditemui oleh seorang jemaah masjid ketika hendak menunaikan solat Subuh pada pagi Jumaat.

Rafa merupakan anak kepada pasangan penjawat awam – Rasiwan, anggota Satuan Polisi Pamong Praja (Satpol PP) Singkawang, dan Hazni Fatziah, petugas di Hospital Umum Daerah Abdul Aziz.

Suspek berjaya diberkas keesokan harinya oleh polis.

Dalam keterangannya kepada pihak polis, Uray mengaku melakukan perbuatan tersebut kerana tidak puas hati dengan pengasuh mangsa.

“Menurut suspek, terdapat kata-kata daripada pengasuh kanak-kanak itu yang menyinggung perasaannya,” jelas Deddi.

Tambah beliau, Uray dipercayai merancang perbuatan itu kerana dendam terhadap pengasuh.

Ini kerana sekiranya sesuatu terjadi kepada Rafa, maka pengasuhnya akan dipersalahkan oleh ibu bapa mangsa.

Bagaimanapun, pihak polis menegaskan bahawa pengasuh dan keluarga mangsa tidak terlibat dalam kes ini.

“Berdasarkan siasatan awal dan pemeriksaan bukti, kami sahkan dia suspek tunggal. Tiada penglibatan pihak lain,” tegas Deddi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!