Ajak wanita check-in, jangan nodai tugas mulia

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SERAGAM polis itu lambang kuasa dan amanah, bukannya tiket untuk berlagak atau menyalah guna kuasa demi kepentingan peribadi.

Merak Jalanan termenung seketika membaca berita tentang seorang anggota polis yang disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) selepas didakwa mengajak seorang wanita ‘check-in’ hotel semasa dalam urusan rasmi.

Biar betul? Sedih pun ada, geram pun ya.

Tugas sebagai penjawat awam, apatah lagi berpakaian seragam bukan sekadar mencari nafkah, tapi memikul maruah jabatan dan amanah rakyat.

Satu kesilapan, satu tindakan songsang, bukan sahaja menjatuhkan air muka sendiri, malah mencalarkan nama keseluruhan pasukan.

Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga. Bayangkan apa reaksi masyarakat bila segelintir anggota buat perangai tak senonoh begini?

Kepercayaan makin luntur, penghormatan makin pudar.

Sedangkan ramai lagi anggota di luar sana yang jujur dan amanah, bekerja keras siang malam untuk menjaga keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan ingin tegaskan, jangan jadikan pakaian seragam sebagai topeng untuk menyembunyikan niat tidak elok.

Lebih baik jaga tingkah laku sebelum sebarang tindakan kurang wajar tular di media sosial atau disiasat JIPS.

Bila sudah tular, tiada siapa akan tanya latar belakang anda kerana apa yang masyarakat nampak hanya satu: “Anggota polis ajak wanita ke hotel.”

Cukuplah, jangan tambah malu buat perkhidmatan awam.

Kalau tidak mampu menjaga maruah seragam, baik letak sahaja jawatan.

Beri peluang kepada orang lain yang benar-benar mahu berkhidmat sebagai anggota keselamatan kerana Merak Jalanan percaya ramai anak muda di luar sana menanti peluang untuk memikul tugas mulia ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!