Jangan merungut kalau tidak mahu ubah sikap

Longgokan sampah dikesan di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Lipis, Pahang dan ia mula merebak ke kawasan lain, termasuk Pintasan Bentong berhampiran Bulatan Mempaga.
Longgokan sampah dikesan di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Lipis, Pahang dan ia mula merebak ke kawasan lain, termasuk Pintasan Bentong berhampiran Bulatan Mempaga.
A
A
A

SETIAP kali musim cuti perayaan atau cuti persekolahan, topik kesesakan lalu lintas sering menjadi perbualan utama. Namun, satu lagi isu yang semakin membimbangkan adalah sikap segelintir pengguna lebuh raya yang suka membuang sampah sesuka hati.

Fenomena ini bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya seperti suatu kebiasaan bagi sesetengah individu yang kurang kesedaran sivik. Apabila berhenti di mana-mana lokasi, perkara utama mereka lakukan ialah ‘membuat’ sampah.

Isunya, bukan sekadar mengenai plastik makanan atau botol minuman dibuang di tepi jalan, tetapi lebih mencerminkan mentaliti masyarakat yang jelas masih kurang menghargai kebersihan.

Terbaharu, akhbar melaporkan terdapat longgokan sampah dikesan di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Lipis, Pahang dan ia mula merebak ke kawasan lain, termasuk Pintasan Bentong berhampiran Bulatan Mempaga.

Lebih memalukan, apabila segelintir masyarakat tanpa segan silu meninggalkan sisa najis tanpa sedikit pun rasa bersalah. Ini jelas menunjukkan betapa rendahnya kesedaran sivik dalam kalangan segelintir rakyat.

Susulan itu, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama Alam Flora Sdn Bhd segera melaksanakan operasi pembersihan di tepi laluan LTU berkenaan.

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid, memaklumkan sebanyak 75 kilogram sampah, termasuk plastik dan bekas makanan telah dikutip di lokasi berkenaan.

Selain itu, 10 tong sampah disediakan, dan pemantauan akan diteruskan bagi menjaga kebersihan kawasan tersebut.

Tidak silap penulis, pada April tahun lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, telah menegur sikap pengguna jalan raya yang gemar membuang sampah di laluan LTU.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, ketiadaan kemudahan hentian Rehat dan Rawat (R&R) bukan alasan untuk berbuat demikian dan menggesa pemandu membuang sampah di tempat yang sesuai.

Dua lokasi yang dicadangkan untuk pembinaan R&R di LTU Pahang sebelum ini ialah di laluan Bentong ke Raub dan Kampung Kechau Tui, Lipis.

Bila kes sebegini berlaku, pasti pelbagai kritikan pedas dan kecaman dilemparkan oleh netizen, tetapi kritik sahaja tidak akan mengubah apa-apa selagi kesedaran individu itu tidak diubah.

Persoalannya, berapa lama lagi masalah ini akan terus berpanjangan? Apakah kita hanya akan mengharapkan operasi pembersihan oleh pihak bertanggungjawab semata-mata tanpa perubahan sikap dalam kalangan pengguna lebuh raya?

Kita sering berbangga dengan keindahan alam semula jadi Malaysia, tetapi hakikatnya, kita sendiri yang mencemarkannya.

Lebih menyedihkan, ramai yang lebih selesa membuang sampah dari tingkap kenderaan atau meninggalkannya di tepi jalan daripada menyimpannya sehingga menemui tong sampah.

Apakah ini wajah sebenar masyarakat kita? Kita sering menyalahkan pihak berkuasa atas kelemahan pengurusan kebersihan, tetapi hakikatnya, jika setiap individu mengambil peranan, masalah ini tidak akan berlarutan.

Sudah tiba masanya kita berhenti mencari alasan dan mula bertindak, jika mahu melihat Malaysia bersih dan indah. Kalau boleh mulakan dengan diri sendiri, buang sampah di tempat yang betul dan ajaklah orang lain untuk melakukan perkara sama.

Jangan biarkan kita dikenali sebagai masyarakat yang 'pandai merungut, tapi jarang buat'. Mari kita buktikan bahawa kita bukan sekadar pandai bercakap, tetapi juga bertindak demi negara yang dicintai.

* Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian Pahang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!