Wajibkan deklarasi kesihatan, bantu tapis pemandu berisiko – Pakar

Laporan Sinar Harian pada Ahad mengenai pemandu Myvi diserang sawan langgar empat pejalan kaki di Cameron Highlands. (Gambar kecil: Siti Asmah, Choy Peng)
Laporan Sinar Harian pada Ahad mengenai pemandu Myvi diserang sawan langgar empat pejalan kaki di Cameron Highlands. (Gambar kecil: Siti Asmah, Choy Peng)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menangani secara lebih proaktif isu pemandu berisiko tinggi iaitu mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, ubat dos tinggi atau mengalami keletihan melampau bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya lain.

Namun, keputusan untuk menyekat atau menghalang individu yang mempunyai rekod kesihatan sama ada fizikal atau psikologi daripada memandu tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

Pakar keselamatan jalan raya dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Kamarudin Ambak berkata, tindakan sedemikian perlu dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh terhadap keadaan individu itu.

“Jangan buat satu peraturan secara melulu, seperti menyekat atau menghalang mereka yang ada rekod kesihatan sama ada fizikal atau psikologi.

"Ini perlu dilihat secara lebih adil — adakah mereka benar-benar sakit atau dipengaruhi oleh faktor-faktor lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, seorang lelaki dipercayai diserang sawan sebelum kereta Perodua Myvi yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar empat pejalan kaki di Jalan Kea Farm, Brinchang, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 24 tahun dan tiga kanak-kanak perempuan berusia dua, lapan dan 10 tahun.

Sementara itu, pakar di Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Sitti Asmah Hassan berkata, setakat ini tiada mekanisme pemeriksaan atau pengesahan laporan kesihatan yang sistematik dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Justeru, katanya, sistem pemantauan berkala bagi memastikan pesakit masih layak memandu berdasarkan status kesihatan semasa wajar dipertimbangkan dalam proses pembaharuan lesen.

“Walau bagaimanapun, pendekatan yang lebih berfokus mungkin lebih sesuai, contohnya dengan mewajibkan penilaian kesihatan berkala terhadap individu yang mempunyai sejarah pemanduan tidak selamat atau risiko kesihatan yang diketahui.

Artikel Berkaitan:

“Tidak semua pesakit menimbulkan tahap risiko yang sama terhadap keselamatan jalan raya.

"Oleh itu, kerajaan, khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT), perlu merancang secara adil dan seimbang dengan mengambil kira hak individu serta keperluan memandu demi kelangsungan hidup,” ujarnya.

Seorang lagi pakar keselamatan jalan raya dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Ng Choy Peng berpandangan bahawa kes tersebut wajar menjadi titik permulaan bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyemak semula prosedur pengeluaran lesen memandu, khususnya bagi individu yang menghidap penyakit kronik seperti epilepsi atau sawan.

“Sekiranya deklarasi kesihatan dijadikan satu kewajipan, ia pasti dapat meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan membantu MOT menangani dilema antara memenuhi keperluan rakyat memandu demi kelangsungan hidup serta keperluan mengawal ketat prosedur lesen bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!