KPN rasmikan kampung angkat Madani bukan kronisme

KUALA LUMPUR – Tiada amalan kronisme dalam pemilihan Kampung Parit Seberang, Kuala Pilah sebagai Kampung Angkat Madani 2025 yang dirasmikan oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain.
Unit Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataannya menjelaskan bahawa berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), pemimpin terdiri daripada ahli Jemaah Menteri, timbalan-timbalan menteri, ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan atau agensi persekutuan, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) persekutuan.
“Pemilihan kampung merujuk kepada kampung kelahiran atau tempat pemimpin dibesarkan atau mana-mana kampung yang dipilih oleh pemimpin tersebut,” menurut kenyataan itu kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambahnya, Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau Santuni Madani merupakan satu pendekatan untuk meningkatkan potensi kampung serta keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung dan libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan setempat.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei 2024 telah memutuskan bahawa setiap pemimpin perlu mengemukakan nama kampung pilihan masing-masing dalam tempoh dua minggu kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM,” jelasnya.
ICU JPM juga akan menyediakan terma rujukan dan garis panduan bagi pelaksanaan Program Santuni Madani.
Untuk rekod, KPN turut memilih dan menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani pertama PDRM di Kampung Jenal, Dabong, Kelantan pada 27 Ogos tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.
“Impak program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh PDRM ini terbukti mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat, sekali gus menyokong usaha kerajaan selaras dengan slogan pasukan ‘Sedia Berkhidmat’ dan tema Hari Polis ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya lagi.
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa pemilihan kampung ibu Razarudin sebagai Kampung Angkat Madani 2025 mencerminkan amalan kronisme yang semakin ketara dalam kerajaan.
Pada Ahad, dalam majlis pelancaran tersebut, Razarudin memaklumkan bahawa Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat Madani 2025 merupakan program terakhir beliau sebagai Ketua Polis Negara.
Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023 menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Majlis serah tugas beliau dijadualkan pada 20 Jun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
