Pekerja ladang maut, tunang parah dirempuh lori

ROMPIN – Seorang pekerja ladang maut manakala tunangnya parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di simpang empat Melati, Kilometer 147, Jalan Kuantan–Seremban di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.25 tengah hari itu, mangsa, Muhamad Nasri Sulaiman, 32, yang beralamat di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, Temerloh, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, tunang mangsa, Norafikaharanap Syafaruddin, 33, cedera parah, manakala pemandu lori berusia 53 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori jenis Nissan tanpa muatan itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke Muadzam Shah.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa bergerak lurus, kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa dipercayai keluar simpang secara tiba-tiba.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Sharif Shai berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Norafikaharanap yang mengalami kecederaan kritikal kini dirawat di Hospital Muadzam Shah.
“Kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!