Dua wanita maut, tiga cedera nahas lori dan kereta

TANGKAK – Dua wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori kontena dan kereta Toyota Vios di Kilometer 169 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, petang Isnin.
Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Johar Tumin berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 6.41 petang.
Jelas beliau, tujuh anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori kontena dan sebuah kereta Toyota Vios.
“Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam kereta dan anggota bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkannya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga lagi mengalami kecederaan termasuk seorang yang tersepit.
"Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sementara mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.20 malam," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

