Filem tidak dapat sambutan, salah siapa?

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tampil memberi penjelasan berhubung sistem Wajib Tayang selepas timbul kekecewaan dalam kalangan penerbit yang mendakwa karya mereka ditamatkan tayangan lebih awal daripada tempoh sepatutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menegaskan, orang ramai termasuk penerbit perlu memahami mekanisme sebenar di sebalik penetapan tempoh Wajib Tayang dua minggu.
“Ramai tidak tahu, tempoh dua minggu itu hanya terpakai kalau filem tersebut mencapai sekurang-kurangnya 15 peratus jumlah tontonan dalam tiga hari pertama tayangan di semua lokasi.
“Kalau tidak capai, pawagam berhak untuk tarik atau kurangkan lokasi. Itu dalam garis panduan yang dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.
Kenyataan itu hadir susulan keluhan penerbit filem Gantung: The Musketeer Code yang kecewa apabila tayangan filem mereka dihentikan awal.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, pihak Finas sentiasa terbuka untuk membantu, namun penerbit juga perlu proaktif dan bijak dalam merancang strategi promosi serta tayangan.
“Kalau berlaku situasi begini, penerbit boleh bincang terus dengan pihak pawagam. Jangan hanya luah di sosial media.
"Kami ada pasukan Wajib Tayang yang boleh beri nasihat dan bantu panjangkan isu kepada persatuan pempamer mahupun persatuan penerbit.
“Dalam kes Gantung pun, pasukan saya sudah hubungi pihak penerbit untuk beri panduan. Setakat ini, masih ada beberapa lokasi yang tayangkan filem tersebut. Jadi fokuslah pada promosi,” ujarnya.
Tambah beliau, penerbit juga digalakkan mendapatkan khidmat pengedar berpengalaman atau sekurang-kurangnya duduk berbincang dengan pawagam untuk dapatkan input lokasi serta strategi sesuai.
“Penonton sekarang sangat memilih. Jadi tidak boleh main tayang sahaja tanpa strategi. Kalau nak tayang musim raya, kena ada strategi raya. Nak pilih tarikh pun penerbit yang tentukan, bukan Finas.
“Kami hanya uruskan penjadualan jika ada slot kosong tetapi akhirnya, keberhasilan filem di pawagam bergantung kepada sambutan penonton dan perancangan penerbit itu sendiri,” jelasnya.
Nasihat
Pada masa sama, Azmir turut mengingatkan penerbit agar melibatkan diri dalam Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) agar mereka boleh mendapat sokongan dari awal, termasuk nasihat daripada tokoh berpengalaman seperti Datuk Yusof Haslam dan Datuk David Teo.
“Kita semua dalam ekosistem yang sama. Pawagam pun nak sokong filem tempatan, tetapi mereka juga jalankan bisnes.
"Kalau dari awal tahu penerbit itu orang baru, kita cuba bantu. Penerbit juga kena terbuka, jangan hanya salahkan sistem," katanya lagi.
Sebagai langkah penambahbaikan, Azmir berkata, pihaknya kini merancang untuk bersama pawagam untuk berkongsi data lokasi yang mempunyai jumlah penonton tinggi, supaya strategi tayangan lebih tersusun.
“Kalau serah bulat-bulat pada penerbit atau pengedar untuk susun pun tidak jadi juga. Jadi mungkin kita akan kongsi pangkalan data ini secara rasmi.
“Kita pun tak mahu ada pihak yang rugi. Industri ini perlukan kerjasama, bukan menyalahkan satu pihak sahaja,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.
Terdahulu, penerbit dan pengarah Gantung: The Musketeer Code yang menemui penonton sejak 5 Jun lalu, meluahkan rasa kecewa apabila filem tersebut dihentikan selepas seminggu tayangan dan membangkitkan isu Wajib Tayang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!