AS kerah pesawat pengisian bahan api besar-besaran ke Eropah

WASHINGTON – Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dilaporkan sedang melaksanakan satu operasi pengangkutan udara berskala besar (airlift) ke arah Eropah dengan bilangan luar biasa pesawat pengisian bahan api udara-ke-udara dikerahkan pada malam Isnin (waktu tempatan).
Menurut laporan portal kewangan ForexLive, sekurang-kurangnya 17 buah pesawat KC-135 Stratotanker dan 4 buah KC-46 Pegasus telah berlepas dari beberapa pangkalan tentera di seluruh Amerika Syarikat, dipercayai menuju ke Eropah melalui laluan merentasi Lautan Atlantik.
“Lebih banyak pesawat sedang dalam fasa persiapan untuk berlepas,” menurut laporan yang disiarkan pada jam 9.55 pagi waktu Malaysia, 16 Jun 2025.
Pemerhati ketenteraan antarabangsa menyifatkan pergerakan besar-besaran ini sebagai “luar biasa dan belum pernah berlaku sebelum ini”, sekali gus mencetuskan spekulasi berhubung kemungkinan peningkatan ketegangan ketenteraan di benua Eropah.
Pesawat KC-135 dan KC-46 digunakan oleh tentera Amerika bagi menyokong operasi udara jarak jauh dengan membolehkan jet pejuang dan pesawat pengangkut melakukan isian semula bahan api semasa berada di udara — sekali gus menandakan persiapan bagi pergerakan strategik berskala besar atau penghantaran aset ke kawasan berisiko tinggi.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pentagon, NATO atau Rumah Putih berhubung tujuan sebenar misi ini.
Bagaimanapun, pemerhati politik antarabangsa tidak menolak kemungkinan perkembangan ini berkait dengan peningkatan konflik di Asia Barat atau Eropah Timur, terutamanya selepas ketegangan ketara melibatkan Israel, Iran serta konflik berpanjangan di Ukraine. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!