Kereta kes penculikan Pamela Ling ditemui dekat sempadan Thailand

SHAH ALAM – Kenderaan yang dipercayai terbabit dalam kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh ditemui ditinggalkan berhampiran kawasan sempadan Thailand.
Wakil peguam Pamela Ling, Sangeet Kaur Deo berkata, sehingga kini masih tiada sebarang kemas kini daripada pihak berkuasa berhubung penemuan tersebut.
Menurut Sangeet, keluarga Pamela Ling dimaklumkan mengenai penemuan kenderaan berkenaan beberapa minggu selepas tarikh penculikannya pada 9 April lalu.
“Beberapa minggu telah berlalu namun tiada kemas kini diberikan mengenai ujian forensik ke atas barang-barang yang ditemui dalam kereta tersebut.
“Memandangkan kemungkinan besar beliau telah dibawa merentasi sempadan, keluarga dimaklumkan bahawa Interpol masih belum dimaklumkan, apa yang Polis Diraja Malaysia (PDRM) tunggu?” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, pada 18 Mei lalu memaklumkan bahawa keberadaan Pamela Ling yang dilaporkan hilang sejak 9 April masih belum dapat dipastikan, sama ada beliau masih berada dalam negara atau telah dibawa keluar.
Menurut beliau, semakan berdasarkan rekod semasa menunjukkan tiada sebarang pergerakan keluar negara dikesan melibatkan wanita itu.
Mengulas lanjut, Sangeet berkata, Pamela Ling merupakan antara saksi utama dalam siasatan kes pengubahan wang haram, namun didakwa telah diculik selepas gagal hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau turut mempersoalkan prosedur siasatan yang dijalankan pihak berkuasa berhubung kes berkenaan.
“Adakah pegawai SPRM telah disoal siasat secara menyeluruh? Adakah PDRM telah mengenal pasti jenis maklumat yang ingin disampaikan Pamela Ling kepada SPRM dan siapa pihak yang berkepentingan itu?
“Adakah kenyataan telah diambil daripada mereka?” soalnya.
Sangeet turut mempersoalkan sama ada polis telah mengikuti protokol siasatan yang sewajarnya dalam kes orang hilang.
“Jelas bahawa PDRM tidak mengambil kes kehilangan ini secara serius, dan mereka juga tidak berminat untuk menyiasatnya dengan bersungguh-sungguh.
“Siasatan secara terpilih, di mana sesetengah kes diberi perhatian manakala yang lain diabaikan begitu sahaja, adalah satu bentuk penafian hak asasi,” katanya.
“Sementara pihak berkuasa terus menunggu satu lagi kes kehilangan mencurigakan di negara ini dilupakan, rakyat Malaysia mesti mempersoalkan dan mengecam sikap tidak bertindak secara terang-terangan dan terpilih oleh pihak berkuasa,” tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

