Cabaran besar menanti KPN baharu

UMUM mengetahui bahawa tempoh perkhidmatan Tan Sri Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara (KPN) bakal tamat pada 22 Jun ini selepas dua tahun menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Keputusan Razarudin untuk tidak menyambung kontrak dibuat atas nasihat ibunya, selain berpegang kepada prinsip memberi ruang kepada kepimpinan baharu meneruskan legasi PDRM.
Namun, persoalan yang lebih besar kini ialah siapakah yang bakal diamanahkan sebagai KPN baharu dan apakah cabaran yang menanti individu tersebut?
Sehubungan itu, timbul tiga nama calon utama bagi mengisi kerusi nombor satu yang ditinggalkan oleh Razarudin, termasuk Timbalannya, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim; serta Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Namun, secara tradisi, jawatan KPN diisi oleh timbalannya yang telah melalui proses latihan kepimpinan dan pentadbiran di peringkat tertinggi.
Jika tradisi ini diteruskan, Ayob Khan dilihat mempunyai kelebihan sama ada dari segi hierarki mahupun pengalaman luas dalam menangani jenayah terancang, ekstremisme dan keselamatan negara.
Ayob Khan juga dikatakan rapat dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kerana pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Johor sebelum beliau dinaikkan pangkat kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada 2022.
Namun, sejarah juga mencatatkan bahawa bukan kelaziman mutlak Timbalan Ketua Polis Negara akan diangkat menjadi KPN.
Sebagai contoh, dalam kes Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang tidak dilantik sebagai KPN biarpun menyandang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan merupakan pegawai kanan PDRM selepas Tan Sri Khalid Abu Bakar bersara wajib pada 4 September 2017.
Justeru, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai KPN baharu menggantikan Khalid, manakala Noor Rashid kekal sebagai Timbalan Ketua Polis Negara sehingga beliau bersara wajib.
Jadi kesimpulannya, apa-apa pun, keputusan akhir terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Namun apa yang penting, ramai pemerhati dan penganalisis jenayah melihat pelantikan KPN bukan sekadar soal senioriti atau populariti, sebaliknya harus berdasarkan integriti dan kewibawaan sebenar calon yang layak.
Ketua Polis Negara perlu memiliki pengalaman luas, imej bersih, berintegriti tinggi dan tegas dalam menjalankan tanggungjawab serta harus bebas daripada sebarang kepentingan politik, sekali gus mengangkat kembali keyakinan rakyat terhadap PDRM pada masa depan.
Pemimpin tertinggi PDRM mestilah individu yang mampu memelihara profesionalisme dan menjunjung sumpah taat setia kepada institusi, bukan individu atau parti.
Namun, sesiapa pun yang bakal menduduki jawatan Ketua Polis Negara selepas ini akan mewarisi cabaran besar, khususnya dalam memperkukuh semula imej PDRM yang saban tahun terpalit pelbagai kontroversi.
Isu integriti, penyalahgunaan kuasa, persepsi negatif masyarakat serta kes-kes berprofil tinggi yang menimbulkan persoalan awam, semuanya menuntut tindakan pembaharuan segera dan berani.
Lebih penting, masyarakat hari ini bukan sahaja mahu pasukan polis yang cekap menangani jenayah, malah telus, adil dan bebas daripada campur tangan luar.
Dalam era digital dan media sosial, kesilapan kecil boleh menghakis kepercayaan rakyat dalam sekelip mata.
Ketua Polis Negara baharu juga perlu memberi fokus kepada ancaman jenayah siber, sindiket rentas sempadan, pengaruh ekstremisme serta memperkukuh hubungan dengan agensi keselamatan lain demi keselamatan menyeluruh negara.
Tanggungjawab Ketua Polis Negara bukan sekadar mengetuai pasukan keselamatan, tetapi juga menjadi simbol keadilan dan ketelusan.
Pemilihan tokoh yang tepat mampu memberi nafas baharu kepada PDRM dan membawa semula kepercayaan rakyat terhadap institusi yang menjadi tiang seri keselamatan negara.
Apa yang pasti, rakyat sedang menunggu, bukan hanya siapa yang bakal dilantik, tetapi ke manakah arah baharu yang akan dibawa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!