SPRM serbu kediaman Tan Sri, wujud bilik rahsia simpan senjata, aset

Pasukan Taktikal SPRM (ACTS) digunakan dalam proses penggeledahan kediaman seorang individu bergelar Tan Sri di Bandar Tasik Selatan, Cheras, dekat sini pada Khamis kerana disyaki menyimpan senjata.
Pasukan Taktikal SPRM (ACTS) digunakan dalam proses penggeledahan kediaman seorang individu bergelar Tan Sri di Bandar Tasik Selatan, Cheras, dekat sini pada Khamis kerana disyaki menyimpan senjata.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan Taktikal SPRM (ACTS) digunakan dalam proses penggeledahan kediaman seorang individu bergelar Tan Sri di Bandar Tasik Selatan, Cheras, dekat sini pada Khamis kerana disyaki menyimpan senjata.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, bantuan anggota ACTS diperlukan apabila pasukan penyiasat suruhanjaya mengesyaki wujud bilik rahsia dalam kediaman individu tersebut.

Katanya, proses penggeledahan itu dilaksanakan semasa proses merakam keterangan individu penting itu berhubung dakwaan penyelewengan dana sukuk bagi projek lebuh raya di Lembah Klang.

Menurutnya, individu terbabit disyaki menyimpan senjata-senjata di dalam sebuah bilik rahsia.

“SPRM mendapat maklumat terdapat bilik rahsia yang menyimpan barang-barang berharga termasuk senjata yang berkaitan dengan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang di kediaman individu ini.

“Kehadiran pasukan ACTS adalah bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang-barang yang disita bagi dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Sehubungan penggeledahan itu, katanya, SPRM telah menyita beberapa barangan mewah seperti beg, jam tangan berjenama serta jongkong, syiling dan patung emas, berlian serta barangan kemas.

Jelasnya, sitaan itu susulan penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di kediaman individu terbabit yang merangkumi 84 beg mewah bernilai kira-kira RM3 juta; 11 unit jam tangan berjenama berjumlah kira-kira RM1 juta; jongkong, syiling dan patung emas bernilai kira-kira RM3 juta; serta berlian dan barangan kemas bernilai kira-kira RM4 juta.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tambahnya, satu set alatan kasino berjenama mewah yang dianggarkan bernilai RM150,000 juga telah disita.

Menurutnya, SPRM turut menemui sebuah bilik rahsia kebal yang merupakan tempat simpanan senjata dan peluru, namun tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan keseluruhan penggeledahan dan sitaan berjumlah RM16 juta dilaksanakan pada Khamis.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan dilakukan.

Dalam pada itu, Azam turut menyatakan bahawa proses rakaman keterangan individu tersebut akan ditangguhkan pada satu tarikh lain disebabkan faktor kesihatan individu terbabit.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!