Lelaki lari pengawasan polis meninggal dunia

Lelaki ini disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Setiu selepas ditemui tidak bermaya di tepi jalan. Foto hiasan
Lelaki ini disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Setiu selepas ditemui tidak bermaya di tepi jalan. Foto hiasan
A
A
A

SETIU - Seorang lelaki yang dikehendaki kerana melanggar syarat pengawasan polis ditemukan tidak bermaya di tepi jalan raya di Kampung Nyatoh di sini sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Setiu pada pagi Ahad.

Mangsa yang berusia 59 tahun itu ditemui oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Penarik kira-kira jam 9.30 pagi ketika dalam perjalanan pulang ke balai selepas menjalani ujian kecergasan di Taman Awam Sungai Tarom.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, lelaki itu ditemui duduk di kaki lima dalam keadaan lemah, hanya memakai kain pelikat dan bertuala merah tanpa berbaju.

“Anggota yang menghampirinya mengenal pasti lelaki itu sebagai individu yang dikehendaki berkait laporan polis bertarikh 6 Jun lalu kerana melarikan diri daripada pengawasan.

“Lelaki itu kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Setiu untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, lelaki itu merupakan pesakit asma kronik, menghidap kencing manis serius dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.

“Siasatan awal tidak menemui unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Kali terakhir lelaki ini menerima rawatan ialah di Klinik Kesihatan Permaisuri pada 4 Jun lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!