Pasangan warga emas ditemui meninggal dunia dalam rumah

RAUB – Pasangan suami isteri warga emas ditemui meninggal dunia di dalam rumah mereka di Kampung Sungai Ruan di sini, pada Sabtu.
Mayat mangsa, Wong Tong Seng, 75, ditemui dalam keadaan terbaring di bahagian dapur, manakala mayat isterinya, Loh Kam Ngo, 73, terbaring di dalam bilik tengah.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat pasangan suami isteri itu pada jam 12.20 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan anggota telah ke lokasi untuk menjalankan siasatan, dan hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa serta kawasan sekitar mendapati kematian pasangan itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian pasangan itu dipercayai akibat serangan jantung," katanya.
Mohd Shahril berkata, berdasarkan maklumat daripada salah seorang anak mangsa, wanita berkenaan merupakan penghidap penyakit Parkinson sejak 20 tahun lalu, sehingga tidak mampu berjalan dan mengalami masalah pertuturan.
"Warga emas itu juga sering mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Menurut anaknya itu, bapanya pula ada mengambil ubat sakit jantung kerana kerap mengalami sakit dada, terutama apabila penat menaiki tangga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!