Serangan Israel zalim, berat sebelah - Tun M

Dr Mahathir (kiri) bersama Zulkifli ketika simbolik pelancaran buku Addeen di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Ahad.
Dr Mahathir (kiri) bersama Zulkifli ketika simbolik pelancaran buku Addeen di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Ahad.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan serangan Israel terhadap Iran sebagai zalim dan berat sebelah.

Ini kerana menurutnya, rejim Zionis melakukan serangan susulan Tehran sedang membangunkan keupayaan senjata nuklear sejak kebelakangan ini.

"Saya anggap (serangan) amat zalim (kerana) Iran tidak boleh ada bom atom sendiri tetapi Israel boleh. Jadi Israel yang ganas.

"Sepatutnya kalau nak tahan (dari membangunkan nuklear), dua-dua tidak boleh, Iran tak boleh dan Israel juga tak boleh, tetapi ini berat sebelah dan tiada keadilan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Addeen di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, Israel melancarkan serangan berskala besar dengan menghantar kira-kira 200 pesawat yang menyasarkan program nuklear Iran dan keupayaan peluru berpandu jarak jauhnya.

Menurut laporan media Iran, Israel mula melancarkan serangan ke atas Iran sekitar jam 3 pagi waktu tempatan dengan menyasarkan kemudahan ketenteraan, nuklear serta kawasan kediaman.

Iran berikrar untuk melakukan 'tindak balas yang keras' dan meminta Mesyuarat Tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) diadakan bagi menuntut Israel bertanggungjawab atas tindakan berkenaan.

Dr Mahathir menandatangani buku Addeen sambil diperhatikan Zulkifli.
Dr Mahathir menandatangani buku Addeen sambil diperhatikan Zulkifli.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menjangkakan perang tersebut akan berlarutan susulan Israel mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat (AS).

Artikel Berkaitan:

"AS memberi bantuan dengan senjata dan sebagainya. Kalau Iran cuba lawan balik, AS akan bekal lebih banyak senjata (kepada Israel).

"Bahkan mungkin AS akan berperang dengan Iran (selepas ini)," ujarnya.

Sementara itu mengenai buku terbaharu karya Dr Mahathir berjudul 'Addeen', naskhah tersebut merupakan catatan peribadi beliau yang menghimpunkan surah-surah pilihan dalam al-Quran.

Buku setebal 514 muka surat berkenaan lengkap dengan terjemahan, renungan serta taddabur, diterbitkan sebagai usaha untuk berkongsi pengalaman rohani dalam memahami mesej al-Quran yang menjadi panduan sepanjang kehidupan beliau.

Buku tersebut dilancarkan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!