Pakistan ikrar sokong Iran, gesa negara Islam bersatu menentang Israel

ISLAMABAD – Pakistan pada Sabtu menyatakan komitmen untuk berdiri teguh di belakang Iran serta menggesa kesatuan dunia Islam bersatu menentang Israel, susulan serangan rejim Zionis terhadap negara tersebut.
Bercakap di Dewan Negara Pakistan, Menteri Pertahanan, Khawaja Asif berkata, sudah tiba masanya negara-negara Islam melancarkan inisiatif bersama bagi menunjukkan perpaduan dalam menghadapi Israel.
“Israel telah menyerang Iran, Yaman dan Palestin. Jika negara-negara Islam tidak bersatu sekarang, kita semua akan menerima nasib yang sama,” katanya.
Beliau turut menyeru negara Islam yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel agar segera memutuskannya, selain mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) segera bermesyuarat bagi merangka strategi bersama.
Khawaja Asif menegaskan bahawa Pakistan mempunyai hubungan erat dengan Iran dan menyatakan sokongan penuh terhadap Teheran dalam waktu sukar ini.
“Kami berdiri bersama Iran dan akan mempertahankan kepentingan mereka di semua forum antarabangsa,” tegasnya.
Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar turut menyelar tindakan Israel menyerang Iran sebagai "pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan" negara itu.
“Pakistan berdiri teguh menyokong kerajaan dan rakyat Iran,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Ishaq Dar juga menghubungi Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi dan sekali lagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Pakistan terhadap Iran dalam usaha mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau.
Dalam insiden pada awal pagi Jumaat lalu, pasukan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, menyasarkan kemudahan nuklear dan peluru berpandu, mengorbankan lebih 104 nyawa, termasuk panglima tertinggi tentera, komander elit Pengawal Revolusi Iran (IRGC) serta beberapa pakar nuklear. Hampir 380 orang turut cedera.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke arah beberapa lokasi di Israel, mengakibatkan tiga maut dan lebih 170 cedera, menurut laporan tempatan.
Serangan berdarah itu telah dikecam oleh beberapa negara, termasuk Turkiye dan Pakistan, yang menyifatkan tindakan Israel sebagai mencetuskan konflik besar serantau dan menggugat keselamatan global. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

