Antara layar dan pelana

ADA dua dunia yang membentuk jiwa Shiqin Kamal. Satu hidup dalam bingkai kamera penuh cahaya, skrip dan babak yang perlu diulang. Satu lagi berakar di gelanggang berpasir, di mana tanah yang dipijak nyata, tiada ulang rakam dan hanya dia serta seekor makhluk setia bernama kuda.
Di antara dua alam ini, pemilik nama penuh Nur Ashiqin Mohd Kamal, 33, tidak sekadar bermain watak. Dia membina kekuatan bukan hanya untuk dilihat kuat, tetapi untuk benar-benar kukuh – secara fizikal, emosi dan spiritual.
Di hadapan kamera, dia menghafal dialog; di atas pelana, dia membina kepercayaan serta kesabaran. Kedua-duanya mengajar sesuatu, dan kedua-duanya menyakitkan... dengan cara yang tidak sama.

“Saya dapat kekuatan diri bila berkuda. Bukan mudah bila jatuh kuda dan bangun naik semula atas kuda. Ada orang kalau sudah jatuh, dia tidak mahu lagi mendekati kuda. Saya sudah jatuh banyak kali... sampai terduduk dan menangis, tetapi saya bangun dan naik balik.
“Itu yang saya rasa ajar jadi kuat, bukan hanya bersukan tetapi di mana-mana sahaja. Dengan kuda, kita belajar macam-macam mengenai kehidupan,” ujarnya tenang namun sarat makna.
Shiqin berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharunya, Martabat: Misi Berdarah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jika dunia hiburan ada drama dan filem, padang kuda pula menjadi tempat Shiqin merawat diri. Dan di balik setiap debu yang berterbangan, tersisip niat yang lebih besar – menyertai Sukan SEA sebelum usia mencecah 40 tahun.
“Bagi yang mengikuti Instagram saya, pasti tahu aktiviti saya sejak akhir tahun lalu iaitu berkuda. Kuda bukan sekadar hobi, tetapi terapi jiwa.
“Hujung bulan ini saya akan menyertai pertandingan lompat kuda pertama. Kalau saya tak boleh buat rakyat Malaysia bangga dengan lakonan, saya nak banggakan mereka dengan kemahiran lain yang saya ada. Sekurang-kurangnya, saya cuba dalam dunia sukan pula,” kongsi Shiqin.

Anak emas?
Di sisi dunia lakonan pula, Martabat: Misi Berdarah menjadi filem kelimanya bersama pengarah prolifik Adrian Teh, menjadikan kerjasama mereka sesuatu yang tidak lagi asing di mata peminat. Ada yang menyebut Shiqin sebagai ‘anak emas’ Adrian – sesuatu yang tidak ditolak mahupun dibanggakan secara berlebihan oleh pelakon ini.
“Saya selesa dengan cara kerja Adrian, ada disiplin dan profesionalisme yang menyenangkan. Adrian juga bijak dan bila dia mahukan sesuatu, dia akan jelaskan mengapa dia susun begitu.
“Bila pergi tempat lain, kadang rasa janggal. Tapi saya cuba untuk tidak bandingkan. Setiap produksi lain, kru lain,” jelasnya.

Berbeza daripada watak-watak terdahulu, filem aksi ini menuntut bukan sahaja kudrat fizikal, malah ketepatan emosi. Bukan sekadar melawan musuh atau berguling di lantai tetapi juga mencipta babak melatah yang tidak kelihatan palsu.
“Produksi hantar saya masuk kelas aksi. Kena tahu tanggungjawab bila kita nak ‘flip’ orang. Kena dengar arahan dan buat betul-betul. Tapi secara peribadi, cabaran paling susah adalah babak melatah. Itu antara highlight, tapi susah nak buat nampak natural,” ujarnya lagi.
Di sebalik semua keinginan dan cabaran ini, Shiqin tidak mahu dikenang hanya kerana wajahnya di layar atau adegan aksinya yang tangkas. Dia mahu menjadi lebih daripada itu – pelakon yang berdiri dengan pilihan wataknya dan wanita yang tidak takut jatuh kerana tahu cara untuk bangkit.
Jika bukan dengan lakonan, biarlah dengan pelana dan lompatan, kerana pada akhirnya, dia hanya mahu rakyat Malaysia bangga – bukan dengan glamor, tetapi dengan jiwa dan daya yang sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

