Minat basikal klasik, sanggup terbang dari Sabah datang Rembau

Peserta Kayuhan Basikal Klasik Antarabangsa di pekan Kota bersedia memulakan kayuhan mereka.
Peserta Kayuhan Basikal Klasik Antarabangsa di pekan Kota bersedia memulakan kayuhan mereka.
A
A
A

REMBAU - Minat terhadap basikal klasik telah menyatukan 250 individu dari pelbagai negeri termasuk Sabah bagi menyertai Kayuhan Basikal Klasik Antarabangsa di pekan Kota di sini pada Sabtu.

Seawal jam 8 pagi, mereka telah pun berkumpul dan memulakan kayuhan sekitar jam 8.30 pagi dengan melawat beberapa lokasi menarik di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota.

Lebih menarik lagi peserta kayuhan turut memakai pakaian tema retro 70-an sekali gus mengimbau nostalgia lama.

Pengerusi Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) Lada Chengkau, Abd Latif Alias berkata, program kayuhan seumpama itu kali kelapan dianjurkan dengan jumlah penyertaan yang semakin bertambah.

Gelagat peserta program Kayuhan Basikal Klasik Antarabangsa di pekan Kota
Gelagat peserta program Kayuhan Basikal Klasik Antarabangsa di pekan Kota

"Kali pertama dianjurkan, hanya seramai 50 peserta terlibat dan jumlah penyertaan bertambah dari tahun ke tahun.

"Kalau saya tengok basikal klasik ini bukan saja diminati oleh orang lama, tapi juga golongan muda dan itu membuktikan ia mempunyai peminat tersendiri," katanya ditemui pemberita pada Sabtu.

Menurutnya, mungkin bagi sesetengah orang ia hanyalah 'besi buruk' tetapi sebenarnya mempunyai nilai yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan pemerhatiannya kata Abd Latif, kebanyakan peserta membawa jenama basikal klasik dari England dan ada yang sudah berusia lebih 90 tahun.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan yang aktiviti kayuhan tersebut akan dimasukkan dalam acara kalender pelancongan di Negeri Sembilan pada masa akan datang.

Setiausaha Pemilik Kelab Basikal Retro Membakut(KROM), Borhan Abu Bakar, 59, berkata, ini kali pertama mereka menyertai program komuniti basikal klasik dari negeri lain dengan penyertaan seramai 25 orang.

"Ini pertama kali kami keluar dari Sabah menyertai program kayuhan basikal klasik dan ia sangat menyeronokkan kerana dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru yang mempunyai minat sama.

"Sebagai orang lama, kami dibesarkan dengan menaiki basikal sebegini dan bila berkayuh basikal klasik ini beramai-ramai dengan tema retro 70-an ia dapat mengimbau nostalgia lama," katanya yang merupakan guru besar di sebuah sekolah rendah di Sabah.

Lebih 250 peserta dari seluruh Malaysia termasuk Sabah menyertai Kayuhan Basikal Klasik Antarabangsa di Rembau.
Lebih 250 peserta dari seluruh Malaysia termasuk Sabah menyertai Kayuhan Basikal Klasik Antarabangsa di Rembau.

Selain itu, Jamilah Saaud, 62, dari Pulau Pinang pula berkata, menjadi kebiasaannya dan suami menyertai program kayuhan seumpama itu di merata negeri.

Ujar ibu lima anak terbabit, dia dan suami sememangnya meminati basikal klasik dan mempunyai 80 koleksi di rumah.

"Basikal itu kami kumpul sejak tahun 2019 dan kebanyakannya dibeli dari pelbagai negeri,"katanya.

Peserta kaum India, S Yugendran, 51 berkata, dia tidak kekok menyertai kayuhan berkenaan walaupun majoritinya adalah kaum Melayu.

Katanya, aktiviti seumpama itu boleh menyemai semangat perpaduan kerana mengumpulkan mereka yang mempunyai minat sama.

"Saya ahli kelab basikal klasik di Seremban dan saya seronok untuk sertai kerana ia dapat mengingatkan kembali zaman ketika saya kanak-kanak dulu.

"Yang saya naik ini basikal datuk saya yang usianya sudah lebih 40 tahun," katanya.

Sementara itu, program berkenaan dianjurkan oleh JPKK Lada Chengkau, Basikal Klasik Rembau, Pusat Khidmat Masyarakat (DUN) Kota dan Kelab Komuniti Pemilik Basikal Klasik Malaysia yang disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!