Ratusan PATI diusir dari Sabah

Antara PATI warga Filipina yang diusir pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan.
Antara PATI warga Filipina yang diusir pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan.
A
A
A

KOTA KINABALU – Seramai 206 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina telah diusir pulang ke negara asal menerusi operasi pemindahan tahanan asing yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pelabuhan Sandakan, pada Khamis.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua tahanan tersebut merupakan penghuni Depot Imigresen Papar.

“Tahanan yang dihantar pulang terdiri daripada 119 lelaki dan 43 wanita dewasa, 28 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan.

“Kesemua PATI berusia antara 11 bulan hingga 63 tahun, dan dipindahkan ke destinasi asal mereka di Zamboanga, Filipina.

“Kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

SH Sitti Saleha turut memaklumkan bahawa jumlah PATI warga Filipina yang telah berjaya dipindahkan ke negara asal kini seramai 4,970 orang, menyumbang kepada jumlah keseluruhan 6,273 tahanan PATI yang telah dihantar pulang setakat ini.

“Kesemua PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan serta memiliki dokumen perjalanan yang sah yang dikeluarkan oleh Kedutaan Republik Filipina bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Ini termasuk individu yang melanggar syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Jabatan Imigresen turut menasihatkan majikan dan masyarakat agar mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah dan berlandaskan undang-undang.

Sehubungan itu, katanya, JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran PATI di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!