Penunggang basikal digilis lori: KKR arah baiki kerosakan jalan

KKR mengarahkan pembaikan segera dilaksanakan di Jalan Negeri J165, Gunung Pulai, di Kulai susulan kemalangan maut melibatkan seorang penunggang basikal warga Singapura pada Sabtu.
KKR mengarahkan pembaikan segera dilaksanakan di Jalan Negeri J165, Gunung Pulai, di Kulai susulan kemalangan maut melibatkan seorang penunggang basikal warga Singapura pada Sabtu.
A
A
A

KULAI - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan pembaikan segera dilaksanakan di Jalan Negeri J165, Gunung Pulai di sini susulan kemalangan maut melibatkan seorang penunggang basikal warga Singapura pada Sabtu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian itu amat menyedihkan kerana insiden berlaku ketika mangsa sedang menjalankan aktiviti riadah.

“Saya merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa. Kehilangan nyawa dalam apa jua keadaan amat memilukan, apatah lagi ketika berbasikal yang sepatutnya membawa kegembiraan serta manfaat kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, Jalan Negeri J165 adalah di bawah penyeliaan Kerajaan Negeri Johor dan peruntukan penyelenggaraan disalurkan Kerajaan Persekutuan melalui sistem MARRIS (Malaysian Road Records Information System).

Jelasnya, pemeriksaan awal mendapati permukaan jalan mengalami kerosakan jenis “crocodile cracks” dipercayai akibat kekerapan penggunaan oleh kenderaan berat, khususnya lori dari kawasan kuari berhampiran.

“Walaupun kerja menaik taraf bahu jalan (grading) telah dibuat awal tahun ini, beban berlebihan menyebabkan kerosakan kembali berlaku,” katanya.

Beliau berkata, walaupun jalan itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, pihaknya tetap prihatin dan sudah menghubungi pihak bertanggungjawab agar kerja pembaikan segera dilaksana menggunakan kaedah R01.

Katanya, kerja grading semula akan dibuat sebagai langkah awal dan diikuti pembaikan menyeluruh selepas peruntukan diterima.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua pihak berkaitan, termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan pengendali kuari untuk bekerjasama memastikan jalan raya dalam keadaan selamat dan selesa bagi semua pengguna.

Artikel Berkaitan:

“Saya nasihatkan penunggang basikal supaya mengutamakan keselamatan. Elak gunakan laluan dilalui kenderaan berat, pilih waktu yang sesuai seperti awal pagi hujung minggu dan pakai kelengkapan keselamatan,” katanya.

Tambah beliau, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan komitmen semua pihak termasuk pemandu, pejalan kaki, penunggang motosikal dan basikal.

Sebelum itu, seorang penunggang basikal maut dalam keadaan menyayat hati apabila digilis treler selepas terjatuh akibat terlanggar lubang di Jalan Gunung Pulai, di sini, pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa lelaki berusia 42 tahun yang merupakan warga Singapura disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!