Kerajaan hasrat tingkat kerjasama industri pertahanan Malaysia-Indonesia

ALOR GAJAH - Kerajaan berhasrat mempertingkatkan kerjasama strategik dalam industri pertahanan antara Malaysia dan Indonesia menerusi pelbagai inisiatif dua hala hasil penyertaan pada ekspo dan forum Indo Defence 2025 di Jakarta pada minggu ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penyertaan Malaysia dalam pameran itu juga menyaksikan penglibatan syarikat industri pertahanan negara yang berpotensi untuk menembusi pasaran luar, khususnya Indonesia menerusi jalinan kerjasama dengan pengeluar tempatan.
"Melalui inisiatif baharu yang diilhamkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kita bukan sahaja menyertai forum dan pameran pertahanan antarabangsa, malah turut membawa pemain industri bersama, iaitu syarikat pembuatan peralatan persenjataan bagi mempromosi produk tempatan ke pasaran serantau.
"Kita percaya syarikat industri pertahanan Malaysia boleh menembusi pasaran Indonesia yang jauh lebih besar dan dalam masa yang sama berkongsi pengalaman dan kepakaran... ini juga penting dari segi kelangsungan industri pertahanan negara, iaitu tidak tertumpu untuk pasaran dalam negara," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Program Sentuhan Kasih Ibu anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah di Kompleks Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lesung Batu.
Adly berkata, antara pencapaian utama di Indo Defence itu termasuk pemeteraian memorandum persefahaman (MoA) antara dua syarikat pertahanan Malaysia dengan rakan strategik dari Indonesia, susulan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) yang lepas.
Beliau berkata, hasil lawatan delegasi kementerian ke beberapa kilang pembuatan senjata di Indonesia dalam penggunaan bahan polimer dalam pembuatan senjata senjata moden juga memberi ruang kepada kerjasama antara kedua negara.
Malaysia mempunyai kelebihan dalam teknologi polimer hasil daripada industri minyak, gas, dan kelapa sawit, manakala Indonesia mempunyai kepakaran dalam pembuatan senjata.
"Jika ini digabungkan, ia berupaya mewujudkan ekosistem industri pertahanan serantau yang berdaya saing dan kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia dan Indonesia, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan industri pertahanan yang mampan di peringkat rantau Asia Tenggara (ASEAN).
"Segala perancangan kerjasama dan pembangunan industri ini juga akan diselaraskan melalui Majlis Penyelidikan dan Inovasi Pertahanan Malaysia (STRIDE)," katanya.
Dalam pada itu, Adly berkata, satu projek kerjasama strategik baharu dalam industri pertahanan baharu akan dimulakan di Shah Alam pada Oktober ini dengan penglibatan syarikat dari kedua-dua negara.
Pameran yang berlangsung di Jakarta dari 11 Jun hingga hari ini, menyaksikan penyertaan lebih 900 pempamer dari 60 negara dan menjadi medan strategik memperkukuh kerjasama pertahanan serta membuka peluang pasaran baharu dalam industri keselamatan serantau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
