Tiada istilah 'berhenti sekejap', MBPP keluar 60 saman

GEORGE TOWN - Pengguna jalan raya dinasihatkan agar tidak menghentikan kenderaan masing-masing di kawasan Zon Larangan Berhenti walaupun untuk tempoh yang singkat, kerana tindakan itu tetap menjejaskan kelancaran lalu lintas dan menyusahkan orang ramai.
Zon Larangan Berhenti yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu itu melibatkan lima zon iaitu Jalan Jelutong (Ahmad Nor–Bukit Dumbar), Jalan Burma (Cantonment–Jones), Jalan Macalister (Anson–Penang), Pengkalan Weld (Gat Lebuh Melayu–Gat Lebuh Chulia) dan Jalan Masjid Kapitan Keling (Lebuh Bishop–Lebuh Chulia).
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, sepanjang tempoh 10 hari pelaksanaan tindakan penguatkuasaan di lima lokasi zon tersebut, sebanyak 60 saman telah dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selain itu, kata MBPP, sebanyak 169 tindakan kapit tayar dilaksanakan dan enam kenderaan ditunda kerana ingkar arahan.

“Hasil pemerhatian mendapati terdapat sedikit peningkatan dari segi kelancaran trafik dan masyarakat mula menunjukkan kesedaran terhadap peraturan lalu lintas di kawasan terlibat.
“Namun, masih ada segelintir pengguna yang memberi alasan ‘berhenti sekejap sahaja’ apabila melanggar larangan berhenti ini,” katanya.
MBPP menambah, tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian tetap menimbulkan gangguan terhadap aliran trafik dan menyebabkan kesulitan kepada orang awam.
“Undang-undang lalu lintas tidak mengenal istilah ‘sekejap’. Larangan tetap larangan.
“Tujuan penguatkuasaan bukan untuk menghukum, sebaliknya bertujuan mendidik dan memastikan keselesaan bersama. Bagaimanapun, tiada kompromi terhadap kesalahan yang memberi kesan kepada kepentingan awam.
“Pematuhan undang-undang tidak hanya terpakai apabila ada pegawai penguat kuasa di lapangan. Kepatuhan dan kesedaran perlu lahir daripada tanggungjawab setiap individu dalam masyarakat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

