Kronologi 'perang bayangan' Iran-Israel sejak 2019

Peta menunjukkan sasaran utama kempen pengeboman IDF ke atas Iran.
Peta menunjukkan sasaran utama kempen pengeboman IDF ke atas Iran.
A
A
A

2019 – Serang sekutu Teheran

Pada 2019, Tel Aviv melancarkan siri serangan ke atas Syria, Lubnan dan Iraq bagi menghalang Iran menghantar senjata canggih kepada mereka. Israel menuduh Teheran cuba mewujudkan rangkaian bekalan senjata melalui Baghdad dan utara Damsyik ke Lubnan.

2020 – Pembunuhan saintis nuklear

Saintis nuklear terkemuka, Mohsen Fakhrizadeh dibunuh Zionis menggunakan mesingan kawalan jauh pada November 2020.

2021 – Serangan di laut

Krisis itu tercetus selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Februari 2021 menuduh Teheran mendalangi letupan ke atas kapal milik Israel yang berlayar di luar perairan Oman. Kira-kira sebulan kemudian, Iran pula mendakwa Tel Aviv menyasarkan kapal kargo milik mereka di luar perairan Tel Aviv.

2022 - Pembunuhan terancang

Dua penyerang menaiki motosikal membunuh pegawai Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Kolonel Sayad Khodayee yang memimpin unit operasi rahsia pada Mei 2022. Pada bulan sama, dua kematian saintis Iran, Ayoub Entezari dan Kamran Aghamolaei dilaporkan selepas mereka menunjukkan gejala keracunan makanan. Teheran dakwa ia didalangi Tel Aviv.

Artikel Berkaitan:

2023 – Ketegangan meningkat

Proksi Iran di bawah gerakan paksi penentangan anti-Israel melancarkan serangan ke atas Tel Aviv sebagai sokongan kepada gerakan Hamas selepas perang genosid tercetus di Gaza pada Oktober 2023. Israel melancarkan serangan balas dan mengorbankan pegawai peringkat tertinggi Teheran di Syria pada Disember tahun sama.

2024 – Siri serangan ganas

Pada April 2024, Israel melancarkan serangan udara ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik dan menyebabkan tujuh termasuk tiga komander mereka terkorban. Teheran bertindak balas dengan melancarkan lebih 300 dron dan misil.

Pada September tahun sama, Duta Iran ke Lubnan, Mojtaba Amini kehilangan sebelah mata dalam insiden letupan alat kelui yang menyasarkan anggota Hizbullah. Serangan sama berlaku tidak lama selepas itu dan meragut puluhan nyawa manakala ribuan yang lain cedera. Israel kemudiannya membunuh pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah dalam serangan udara berhampiran Beirut.

Iran bertindak balas dengan melancarkan kira-kira 180 misil balistik ke Israel. Tel Aviv menyerang balas dengan memusnahkan sistem pertahanan udara yang berfungsi melindungi infrastruktur kritikal.

2025 – Rancang sejak awal

Pada awal tahun lalu, Netanyahu pernah mendedahkan rancangan jahat mahu membedil kemudahan nuklear Iran kepada Presiden AS, Donald Trump. Pada April, Trump bagaimanapun menegaskan mahu meneruskan usaha diplomasi.

Pada awal minggu lalu, Trump sudah memberi isyarat tentang konflik terbaharu itu apabila beliau memaklumkan rakyat mereka akan dipindahkan dari Asia Barat kerana rantau itu boleh menjadi 'tempat yang berbahaya'. Trump mengulangi amaran Washington tidak membenarkan Teheran memiliki senjata nuklear setelah Iran berkeras enggan menghentikan projek pengayaan uranium mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!