AS dipercayai tahu lebih awal rancangan Israel serang Iran

Orang ramai berkumpul di jalanan selepas serangan udara Israel di Tehran, Iran pada 13 Jun 2025. Foto: Majid Asgaripour/WANA melalui Reuters.
Orang ramai berkumpul di jalanan selepas serangan udara Israel di Tehran, Iran pada 13 Jun 2025. Foto: Majid Asgaripour/WANA melalui Reuters.
A
A
A

WASHINGTON - Semua petunjuk menunjukkan bahawa Amerika Syarikat (AS) memang telah dimaklumkan lebih awal mengenai kemungkinan serangan Israel ke atas Iran, kata Alan Fisher, wartawan antarabangsa yang membuat liputan dari ibu negara AS.

Menurut Fisher, Presiden Donald Trump dipercayai telah diberi taklimat mengenai rancangan tersebut sebelum ia dilaksanakan, meskipun Washington tidak terlibat secara langsung dalam serangan itu.

“Kesemua tanda menunjukkan ke arah itu bahawa Donald Trump telah dimaklumkan akan ada serangan,” katanya.

Beliau merujuk kepada tindakan AS yang mengarahkan pemindahan kakitangan tidak penting dari Kedutaan AS di Baghdad, serta memberi pilihan kepada kakitangan di kedutaan lain di rantau tersebut untuk meninggalkan lokasi masing-masing jika mahu.

Langkah itu dibuat kurang 48 jam sebelum serangan Israel, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa Washington menjangkakan serangan atau konflik bakal tercetus di Asia Barat.

“Pengumuman itu kelihatan seperti satu isyarat jelas bahawa serangan akan berlaku,” kata Fisher.

Dalam masa yang sama, Donald Trump dalam satu kenyataan terbaharu di platform Truth Social menegaskan bahawa kerajaannya komited untuk mencari penyelesaian diplomatik dengan Iran, sambil mengulangi pendirian bahawa Teheran tidak boleh dibiarkan memiliki senjata nuklear.

Israel vs Iran. - Agensi
Israel vs Iran. - Agensi

“Trump menyatakan beliau telah mengarahkan seluruh kerajaan untuk menjurus kepada rundingan damai dengan Iran,” ujar Fisher.

Artikel Berkaitan:

Walaupun AS menafikan penglibatan secara langsung dalam serangan tersebut, namun Fisher percaya bahawa Trump dan pentadbirannya telah dimaklumkan lebih awal mengenai tindakan Israel.

“Walaupun AS tidak terlibat, apa yang kami dengar ialah mereka dimaklumkan tentang apa yang bakal berlaku,” katanya lagi.

Difahamkan, ketika serangan berlaku, Trump sedang menghadiri acara perkelahan kongres di Rumah Putih, dan telah pun diberi taklimat mengenai tindakan Israel.

Soalan terbesar kini, menurut Fisher, ialah bagaimana AS akan bertindak balas sekiranya Iran membalas serangan tersebut.

Iran sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas fasiliti nuklearnya akan disambut dengan tindak balas keras yang boleh mencetuskan konflik serantau berskala besar. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!