Harga minyak naik lebih 7 peratus susulan serangan Israel ke atas Iran

Asap berkepul-kepul akibat letupan selepas Israel mengumumkan ia telah melakukan serangan ke atas tapak nuklear dan tentera Iran di republik Islam itu. Foto AFP/UGC/IRAN TV
Asap berkepul-kepul akibat letupan selepas Israel mengumumkan ia telah melakukan serangan ke atas tapak nuklear dan tentera Iran di republik Islam itu. Foto AFP/UGC/IRAN TV
A
A
A

SINGAPURA - Harga minyak melonjak lebih tujuh peratus pada Jumaat susulan serangan Israel ke atas Iran, sekali gus mencetus ketegangan di Asia Barat dan kebimbangan gangguan bekalan global.

Memetik laporan The Edge, harga minyak mentah Brent naik sebanyak RM24.99 (AS$5.29) atau 7.63 peratus kepada RM352.24 (AS$74.65) setong pada dagangan pagi Jumaat, selepas mencecah paras tertinggi harian RM355.37 (AS$75.32) sejak 2 April lalu.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) pula meningkat RM25.42 (AS$5.38) atau 7.91 peratus kepada RM346.90 (AS$73.42) setong, selepas mencatat paras tertinggi RM351.95 (AS$74.35) sejak 3 Februari.

Penganalisis tenaga kanan di MST Marquee, Saul Kavonic berkata, ketegangan geopolitik susulan serangan Israel ke atas Iran mendorong kebimbangan pasaran dan peningkatan harga minyak.

“Konflik ini hanya benar-benar menjejaskan bekalan jika Iran bertindak balas dengan menyerang infrastruktur minyak di rantau itu.

“Dalam senario paling ekstrem, Iran berpotensi menyekat sehingga 20 juta tong minyak sehari melalui serangan ke atas kemudahan minyak atau menghadkan laluan di Selat Hormuz,” katanya dalam laporan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, serangan tersebut menyasarkan kemudahan nuklear Iran, kilang pengeluaran peluru berpandu balistik serta keupayaan ketenteraan lain milik republik berkenaan.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada Khamis pula menyifatkan tindakan Israel itu sebagai serangan secara bersendirian tanpa penglibatan Washington.

Beliau turut menggesa Iran supaya tidak menyasarkan kepentingan atau anggota tentera AS di rantau berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan berasingan, penganalisis pasaran kanan Phillip Nova, Priyanka Sachdeva berkata, keadaan semakin meruncing susulan pengumuman Iran yang mengisytiharkan darurat dan bersedia membalas serangan tersebut.

“Tindakan itu meningkatkan risiko bukan sahaja terhadap gangguan bekalan minyak, malah mencetuskan penularan konflik ke negara pengeluar minyak lain yang berhampiran.

“Walaupun Trump menunjukkan keengganan untuk turut serta, penglibatan AS boleh menambahkan lagi kebimbangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pasaran saham menjunam dalam dagangan awal Asia dipacu oleh penjualan mendadak dalam niaga hadapan AS, manakala pelabur beralih ke aset selamat seperti emas dan franc Swiss.

Penganalisis Pasaran IG Group, Tony Sycamore berkata, ketegangan yang berlaku dijangka terus menjejaskan sentimen pasaran global dalam tempoh terdekat.

“Ketika dunia menunggu maklum balas lanjut dan kemungkinan tindak balas daripada Iran, sentimen risiko dijangka terus merosot.

"Pedagang turut mula mengurangkan pegangan dalam aset berisiko menjelang hujung minggu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!