Malaysia kecam serangan tentera Israel ke atas Iran

SHAH ALAM - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera Israel ke atas Iran, termasuk serangan yang disasarkan sehingga mengorbankan pemimpin kanan Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu adalah satu perbuatan yang amat serius dan tidak bertanggungjawab, yang mengancam kestabilan sebuah rantau yang sememangnya rapuh.
Beliau turut berpandangan bahawa serangan itu jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Ia juga berlaku ketika Israel sedang berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung tindakannya di Gaza serta tekanan politik dalaman terhadap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
“Malaysia menyeru rakan-rakan Israel khususnya negara yang mempunyai pengaruh dan keupayaan untuk mendesak agar menggunakan segala tekanan yang ada bagi menghentikan sebarang tindakan pencerobohan selanjutnya.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri atau membenarkan tindakan yang menggagalkan usaha diplomasi dan membahayakan keamanan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan Israel telah melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran di Natanz termasuk menyasarkan saintis, komander tentera dan kilang peluru berpandu negara itu.
Dalam satu mesej video yang dikongsi, Netanyahu menyifatkan operasi itu sebagai satu ‘detik penentu dalam sejarah Israel’ dan menamakan serangan tersebut sebagai ‘Rising Lion’.
Katanya, Israel menyasarkan saintis Iran yang terlibat dalam pembangunan senjata nuklear, program peluru berpandu balistik serta fasiliti pengayaan uranium di Natanz.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

