“Mereka kerap bergaduh selepas suami meninggal” – Jiran mangsa tikaman

Lokasi kejadian pembunuhan dua beranak di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai pada Khamis.
Lokasi kejadian pembunuhan dua beranak di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai pada Khamis.
A
A
A

MELAKA –  "Kerap juga saya terdengar anak beranak ini bergaduh lebih-lebih lagi selepas suami guru itu meninggal Januari lalu,".

Demikian kata seorang warga emas berusia 67 tahun yang enggan dikenali ketika ditemui di lokasi kejadian dua beranak maut ditikam di Taman Rambai Mutiara, di sini pada Khamis.

Individu yang telah menetap di taman perumahan tersebut sejak 10 tahun lalu berkata, mangsa yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah jenis kebangsaan begitu mementingkan pendidikan anak-anaknya dan sering menegur tiga anak lelakinya dengan nada yang tegas.

"Memang mereka selalu bergaduh, kali terakhir saya dengar malam tadi. Tapi tak sangka kali ini sampai jadi kes bunuh," katanya.

Terdahulu,Sinar Harian melaporkan bahawa tekanan belajar dan kerap dimarahi dipercayai menjadi punca seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertindak menikam ibu dan abangnya sehingga maut dalam kejadian tragis di sebuah rumah.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, suspek remaja berusia 17 tahun dipercayai masuk ke bilik ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal, lalu menyerang dan menikam wanita berusia 51 tahun itu menggunakan pisau lipat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, anak sulung mangsa yang berusia 21 tahun menyedari berlaku kekecohan dan cuba meleraikan pergaduhan, namun turut ditikam suspek sehingga maut. Mayat kedua-dua beranak itu ditemui di ruang tamu rumah teres setingkat berkenaan.

Menurut beliau, seorang lagi anak mangsa yang merupakan anak bongsu berusia 13 tahun turut ditikam oleh suspek, menyebabkan kecederaan parah, namun kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!